INSIDEN 'panas' aksi Liga Perdana melibatkan The Bos Gaurus dan Kijang Merah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada Rabu lalu (10 Ogos) lalu menyaksikan perbalahan antara kedua-dua 'kepala' pasukan terbabit.
Penyokong kedua-dua pasukan turut ikut sama dalam 'perang mulut' antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dan pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman.
Perbalahan itu terus berpanjangan selepas ada laporan media yang dilihat cuba melaga-lagakan kedua-dua pasukan.
Bahkan terdapat satu laporan menyebut Bobie Farid 'koyak' kerana teruk diserang netizen lantaran mempertahankan perangai penyokong Perak FC.
Tidak berdiam diri, Bobie Farid berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan berkenaan yang disiarkan di sebuah portal sukan, pada Jumaat.
Kenyataan itu dibuat Bobie yang juga CEO One XOX Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat XOX, menerusi satu hantaran di Facebooknya, @Ariesham.
"Terus menerus media menyerang saya secara terbuka mengatakan saya mempertahankan tindakan penyokong Perak. Tak apa bersedia untuk berjumpa di mahkamah.
Insya-ALLAH," katanya pada Jumaat.
Berdasarkan laporan berkenaan, Bobie Farid dikatakan panas punggung selepas diserang netizen gara-gara mempertahankan perangai tidak bertamadun penyokong Perak yang dipercayai membuat provokasi kepada penyokong lawan.
Dengan memetik kenyataan Bobie Farid, laporan portal itu menyebut bahawa ramai yang menganggap kenyataan beliau seperti tidak mencerminkan kematangan, malah tindakannya berbalas komen dengan penyokong dan mengeluarkan perkataan 'ba**', memperlihatkan bahawa dirinya 'koyak' teruk.
Insiden ‘panas’ aksi Liga Perdana membabitkan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Rabu. — Facebook.
Menjengah ruangan komen, sebahagian besar penyokong Perak memberikan sokongan terhadap tindakan tegas yang mahu diambil Bobie Farid itu.
"Tak apa bos, kami sokong dari belakang...abaikan deme (mereka) ni..biasalah bos team nak bangkit ni, ramailah yang dengki. ALLAH saja tahu apa yang jadi," tulis Zul Junior.
"Saman je bos..tiada etika menyampaikan berita langsung. Bagi peringatan sikit," kata Amirul Yusoff.
"Media ni pun tak ada koje (kerja)...bab nak menokok nambah memang hebat. Bukti pijak bendera, kencing atas padang tu pun tak ada lagi.
"Kemon laa nak buat tuduhan, sediakan bukti...ni main sembur saja," tulis Freedy Kruger. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram