Kena gastrik, keputusan rayuan Azeez Rahim ditangguh 5 September


  • Prosiding
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Azeez dirawat di PPUM kerana sakit acute gastroenteritis.

KEPUTUSAN bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengetepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi ditangguhkan ke 5 September ini.

Ia dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said selepas peguam perayu, Amer Hamzah Arshad memaklumkan anak guamnya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana sakit acute gastroenteritis.

Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sakit sejak pukul 2 pagi, Jumaat dan pergi ke PPUM untuk mendapatkan rawatan.

"Kami telah menangguhkan kes ini berkali-kali, walaupun kami tidak mahu mempertikaikan kesihatannya, tetapi tidak sepatutnya proses mahkamah disalah guna," kata Hakim Kamaludin.

Menurut Amer Hamzah, bukan niat anak guamnya untuk menyalahgunakan proses mahkamah, dan berjanji akan memberikan salinan sijil sakit Azeez kepada mahkamah.

Panel itu pada mulanya dijadualkan menyampaikan keputusan berhubung rayuan Azeez bulan lepas, namun ditangguhkan ke hari ini (Jumaat) kerana Amer Hamzah memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau telah membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun pada prosiding Jumaat, Amer Hamzah memaklumkan hakim bahawa beliau tidak menerima sebarang jawapan mengenainya.

Hakim Kamaludin berkata, beliau berharap pihak yang terlibat akan memberi jawapan kepada representasi itu.

"Kalau tolak, perlu beritahu supaya ada jawapan dan perkara itu tidak tergantung,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron kemudian berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan.

Hakim Abu Bakar kemudian berkata, di pihaknya, mahkamah sudah bersedia untuk menyampaikan keputusan.

Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dia juga menghadapi 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan rasuah, perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, ia didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram