
PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mengakui pasukannya masih ada kekurangan dari segi sikap dan semangat berpasukan dalam dua perlawanan pembukaan mereka.
Ten Hag menyaksikan pasukannya tewas kepada Brighton dan Brentford dalam dua perlawanan pertama yang membuatkan ramai pemerhati sukan serta penyokong mempersoalkan ketahanan mental dan komitmen pemain Red Devils.
Terdahulu, Man United menundukkan Liverpool di hadapan penyokong sendiri sebelum menamatkan rekod tujuh kekalahan berturut-turut di tempat lawan dengan menang 1-0 ke atas Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St Mary's, pada Sabtu.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Ten Hag mengakui ada masalah dengan sikap anak-anak buahnya namun ia mungkin dapat diatasi melihat kepada kemenangan yang diraih ke atas Southampton.
"Anda perlu menyesuaikan diri dan mencari cara tertentu untuk memenangi perlawanan dan itulah yang kami lakukan hari ini.
Ronaldo menerima rawatan akibat kecederaan selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua. — Agensi
"Sebelum ini yang menjadi masalah ialah apabila pasukan tidak memberikan sepenuhnya. Mereka tidak mahu memberikan 100 peratus dan kekurangan semangat berpasukan.
"Ia bukan mengenai falsafah atau pelan permainan atau apa sahaja. Paling penting adalah semangat berpasukan dan komitmen 100 peratus," katanya memetik laporan Mail Online.
Sementara itu, Ten Hag tidak menghalang jika Cristiano Ronaldo mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini dengan mengakui bahawa dia tidak dapat memastikan sama ada pemain tersebut akan berada di kelab itu selepas 1 September atau tidak.
"Saya tidak boleh katakan bahawa Ronaldo akan kekal. Kami akan tunggu sehingga detik terakhir dalam pasaran perpindahan," katanya.
Menurut Ten Hag, kelab itu kini terlibat dalam usaha mengejar penyerang Brazil, Ajax Antony yang secara terbuka menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Eredivisie.
"Jika ada pemain yang tersedia, kami akan sambar mereka," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram