KEBELAKANGAN ini, beberapa nama legenda bola sepak dikaitkan untuk menggantikan Aidil Sharin Sahak sebagai pengemudi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim depan sebagai usaha memperkukuhkan semula kedudukan skuad itu dalam saingan Liga Super.
Selain nama Tan Cheng Hoe, jurulatih berpangkalan di Terengganu, Nafuzi Zain juga diperkatakan bakal membantu KDA FC keluar dari badi kekalahan yang membelenggu Sang Kenari ketika ini.
Menurut desas-desus, Nafuzi dikatakan bakal berhijrah ke Kedah untuk memimpin skuad Hijau Kuning dan sekali gus menggantikan Aidil.
Sebagai jurulatih muda, penghijrahan Nafuzi untuk mengambil alih KDA FC jika ia berlaku, dirasakan terlalu awal untuk dirinya yang masih baru dalam kancah kejurulatihan bola sepak tempatan.
Irfan Bakti berkata, Nafuzi boleh bersama-sama TFC dalam proses pembangunan pasukan itu secara berterusan untuk menjadi skuad yang lebih mantap.
Pendapat itu disuarakan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Salim yang pernah mengemudi Terengganu FC (TFC) selama dua musim dari 2017 hingga 2019.
"Nafuzi ni masih baru, dia jurulatih yang muda, jadi untuk dia ambil alih Kedah tu bagi saya masih terlalu awal," katanya kepada Majoriti.
Tidak dinafikan TFC melalui perubahan demi perubahan yang baik di bawah kendalian Nafuzi, namun menurut Irfan Bakti, KDA FC memerlukan seorang ketua jurulatih yang lebih senior.
"Kedah ni satu pasukan elit, begitu juga TFC...cuma awal lagi untuk Nafuzi ke kelab itu. Orang yang lebih layak seperti jurulatih-jurulatih senior yang sudah menempuh macam-macam pengalaman dalam mengemudi sesebuah kelab.
Cheng Hoe dirasakan lebih sesuai ke KDA FC berdasarkan pengalamannya yang lebih matang. — Agensi
"Nafuzi belum hadapi lagi cabaran tertentu yang berat untuk seorang jurulatih. Biar dia maintain di TFC, duduk beberapa tahun di kelab itu kemudian mungkin boleh keluar.
"Cheng Hoe sendiri contohnya jurulatih yang lebih sesuai ke KDA FC tapi Nafuzi biar remain atau maintain di TFC kerana nampak lebih baik dia di sana buat waktu ini," katanya.
Menurut Irfan Bakti lagi, Nafuzi boleh bersama-sama TFC dalam proses pembangunan pasukan itu secara berterusan untuk menjadi skuad yang lebih mantap dan berdaya saing.
"Jika ada fans kata sebaiknya Nafuzi kekal di TFC berbanding Kedah, saya setuju," katanya ketika diminta mengulas pendapat penyokong yang merasakan Nafuzi perlu jadi seperti Alex Ferguson di Manchester United atau Jurgen Klopp di Liverpool yang terlibat dalam proses pembinaan pasukan tersebut.
Nafuzi boleh menukar Kpah (kiri) dan Kipré berikutan prestasi mereka yang kurang memberangsangkan musim ini. — Facebook
Dalam perkembangan sama, Irfan Bakti yang juga ketua jurulatih Kuching City FC berkata, Nafuzi boleh terus menggilap pemain-pemain tempatan di TFC jika khidmatnya masih diperlukan skuad Sang Penyu.
"TFC ada pemain tempatan yang baik sebenarnya jadi Nafuzi boleh asah mereka dengan lebih baik.
"Selain itu, saya rasa bagi musim ini, Nafuzi nampak kurang berpuas hati dengan penyerang import seperti Kpah Sherman dan Kipré Tchétché.
"Sekiranya ada perubahan dari segi pemain terutamanya pemain import, Nafuzi mungkin boleh consider penstrukturan dalam barisan pemain untuk musim depan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram