BANYAK syarikat permainan video sudah mula beralih ke arah dunia permainan mobile seperti yang dilakukan Electronic Arts (EA) dengan membawa FIFA keluar dari dunia konsol untuk menjadikannya FIFA Mobile.
Tujuan utama EA mencipta permainan FIFA Mobile ini adalah untuk memberikan pengalaman baharu serta menghadirkan perasaan teruja buat orang ramai kerana game ini boleh dimuat naik secara percuma.
Sebelum ini FIFA Mobile hanya boleh dimainkan sebagai sebuah pasukan tetapi baru-baru ini, FIFA Mobile melancarkan mod baharu yang mana anda boleh bermain sebagai Mod Manager.
Mod Manager ini membolehkan anda untuk membuat strategi dan meletakkan taktik untuk mengalahkan lawan anda, sekali gus meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada anda yang hadir dengan pelbagai taktikal yang berbeza.
FIFA Mobile melancarkan mod baharu yang mana anda boleh bermain sebagai Mod Manager. — Agensi
Mengulas lanjut mengenai FIFA Mobile, Pengurus FIFA Mobile Malaysia, Umair Jazree, 26, menjelaskan perbezaan FIFA Mobile dan konsol serta menerangkan lebih terperinci tentang permainan tersebut.
"FIFA Mobile adalah satu permainan video bola sepak yang dikeluarkan oleh EA Sports, permainan ini juga boleh diklasifikasikan sebagai permainan video bola sepak terbaik setakat ini.
"FIFA Mobile membawa perbezaan yang ketara, di antaranya ialah medium yang digunakan untuk memainkan permainan video tersebut, umum mengetahui bawah permainan video FIFA konsol dimainkan di konsol PlayStation dan XBOX.
"Ia juga turut boleh dimainkan menggunakan komputer, manakala untuk FIFA Mobile pula boleh dimainkan dengan menggunakan telefon pintar sahaja," katanya pada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia yakin EA mungkin dalam perancangan untuk mengadakan kejohanan FIFA Mobile dalam skala yang besar seperti mana yang dilakukan pada FIFA konsol.
"Buat masa ini di Malaysia kita ada kejohanan buat komuniti FIFA Mobile di tanah air sahaja, bagi sesiapa yang berminat menyertainya boleh download permainan FIFA Mobile di Apps Store dan juga Play Store secara percuma!
"Namun kami yakin, EA Sports sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri demi memacu permainan video ini lebih ke hadapan dan lebih hebat dan mungkin setanding pertandingan FIFA Konsol," ujarnya.
Mod Manager ini membolehkan anda untuk membuat strategi dan meletakkan taktik untuk mengalahkan lawan anda. — Agensi
Menurutnya lagi, dia berasa sangat teruja dan bangga diberi tanggungjawab untuk menjaga komuniti FIFA Mobile di Malaysia serta mengharapkan pemain-pemain FIFA Mobile terus bersatu.
"Sudah pasti berasa sangat bangga dan teruja, tanggungjawab yang diberi ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil kreditnya sahaja tanpa melakukan apa-apa, oleh itu kami akan cuba sebaik mungkin untuk membangunkan komuniti FIFA Mobile di Malaysia.
"Harapan saya agar semua peminat FIFA Mobile di Malaysia terus bersatu demi memajukan lagi komuniti FIFA Mobile yang sedia ada," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram