SABAH FC pada Selasa mengumumkan penamatan kontrak secara persefahaman bersama pemain pertahanan Tommy Mawat Bada dengan serta-merta.
Bagaimanapun, tiada dinyatakan sebab mengapa pemain berusia 27 tahun itu ditamatkan kontrak dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Sabah FC itu.
Meskipun ketiadaan Tommy mungkin tidak begitu dirasai kerana dia jarang diturunkan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, namun kelompangan yang ditinggalkannya tetap perlu diisi dengan segera.
Melihat kepada data transfermarkt.com, Tommy tidak berada dalam skuad sejak bulan 19 Julai lalu.
Pemain dari Sarawak itu tidak diturunkan dalam lima perlawanan terakhir ketika Sabah bertemu Terengganu FC (19 Julai), PJ City FC (26 Julai), Melaka United (31 Julai), Sarawak United (9 Ogos) dan Kedah FC (17 Ogos).
Sebelum itu, Tommy berada dalam skuad utama hampir dalam semua perlawanan sejak awal musim dengan bermain di posisi tengah kiri (left midfield).
Berikut merupakan tiga pemain yang boleh menggantikan Tommy di Sabah FC:
Daryl berpeluang untuk membawa matlamat Sabah yang mahu memperkuatkan skuad itu sebagai antara pencabar utama Liga Super. — Facebook
1) Daryl Sham
Pemain kacukan Malaysia-Filipina berusia 19 tahun itu merupakan seorang lagi produk akademi Johor Darul Takzim (JDT) selain Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.
Darly Sham boleh bermain di posisi tengah dan serangan tetapi menurut laman web transfermarkt, posisi asal pemain tersebut ialah pertahanan.
Dengan rekod cemerlang Daryl yang sudah mencetak tujuh gol dalam 16 perlawanan musim ini, dia berpeluang untuk membawa matlamat Sabah yang mahu memperkuatkan skuad itu sebagai antara pencabar utama Liga Super.
Al-Hafiz dirasakan boleh serasi dengan pemain Sabah sedia ada termasuk Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali. — Facebook
2) Muhammad Al-Hafiz Harun
Pemain itu antara penggerak untuk melakukan serangan pasukan buat Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Dia tersenarai sebagai antara pemain yang membuat bantuan gol Liga Super bagi musim ini selepas dua bintang JDT, Arif Aiman dan Fernando Forresteri.
Al-Hafiz sentiasa dipuji kerana mempamerkan aksi positif dengan larian lincah yang membantu KDA FC mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Pemain berusia 28 tahun itu juga tenang dan sentiasa terbuka untuk adakan corak serangan selain dirasakan boleh serasi dengan pemain Sabah sedia ada termasuk Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali. Kontraknya bersama Kedah FC tamat pada 30 November depan.
Kontrak Nik Sharif bersama Selangor FC tamat pada 30 November depan. — Facebook
3) Nik Sharif Haseefy
Pemain berusia 25 tahun itu telah tampil sebanyak 12 kali bersama Terengganu FC (TFC) dengan lapan daripadanya bermula dalam kesebelasan utama manakala empat lagi dimasukkan selaku pemain gantian.
Dia dipinjamkan ke TFC selama enam bulan dan masih berstatus pemain pinjaman dari skuad The Red Giants.
Begitupun, kontraknya bersama Selangor FC akan tamat pada 30 November depan. Mungkin Sabah boleh mendapatkan pemain yang berasal dari Kuantan, Pahang itu untuk bermain bersama Sang Badak pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram