Romel komited sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Romel boleh menjadi pemain naturalisasi pada Januari 2023 selepas cukup tempoh 5 tahun beraksi di Malaysia. — Facebook/KL City FC

KEMENANGAN bersejarah Kuala Lumpur City FC (KL City) ke atas PSM Makassar dalam aksi akhir Piala AFC Zon Asean diwarnai dengan kecemerlangan yang ditampilkan oleh ayam tambatan mereka, Romel Morales.

Dalam perlawanan itu, Romel berjaya menunjukkan aksi terbaiknya dengan menghasilkan gol pembukaan selain menyumbang satu bantuan gol kepada Jordan Mintah untuk jaringan kedua KL City hasil satu serangan balas pantas.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Romel berasa cukup gembira dengan persembahan yang ditampilkan pasukannya dan sebagai seorang pemain yang beraksi di bahagian serangan, dia sentiasa akan cuba untuk memberikan yang lebih baik buat pasukan.

“Sudah tentu saya gembira. Mungkin pada perlawanan sebelum ini, saya tidak dapat menjaringkan gol dan ia bukan situasi yang mudah. Mungkin saya sudah berusaha dengan keras untuk memberikan sesuatu kepada pasukan.

“Jika beraksi di posisi serangan, anda perlu melakukan lebih di atas padang. Anda perlu menjaringkan gol dan anda juga perlu membantu rakan sepasukan untuk menjaringkan gol. Jadi saya gembira dengan prestasi saya yang mampu jaringkan gol dan menyumbang bantuan gol,” jelas Romel.

Apabila ditanyakan kesediaan Romel untuk menjadi calon pemain naturalisasi bagi membolehkan dia beraksi dengan Harimau Malaya, Romel jelas sekali bersedia untuk itu dan akan memberikan segalanya demi Malaysia.

“Saya gembira duduk di Malaysia dan sudah beraksi lama di sini. Jika saya mendapat peluang itu (beraksi untuk Malaysia) sudah tentu saya akan berusaha sebaik mungkin dan akan membalas semula apa yang telah diberikan kepada saya,” luah Romel lagi.

Mengikut rekod, Romel boleh menjadi pemain naturalisasi pada Januari 2023 selepas cukup tempoh lima tahun beraksi di Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram