Usaha MFL modenkan liga akan 'rosak' jika 4 elemen gagal dipenuhi


  • Podium
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Walaupun JDT dipandang sebagai kelab bola sepak berkelas 'A' dalam Liga M, namun hakikatnya kualiti pemain tempatan masih lagi di takuk lama. — Facebook/JDT

BUKAN sahaja Johor Darul Takzim (JDT) yang ditewaskan pasukan tuan rumah, Urawa Reds dengan jaringan besar 0-5 tetapi wakil Asia Tenggara dari Thailand, BG Pathum United juga menerima nasib yang sama apabila tewas dengan keputusan 0-4 oleh pasukan tersebut pada Isnin.

Taraf kualiti pemain dan corak permainan kelab dari Jepun itu nyata berbeza jika dibandingkan dengan JDT walaupun rata-rata dibarisi pemain warisan dan pemain import.

Dalam perlawanan tersebut jelas kelihatan kualiti pemain pasukan yang menduduki tangga kelapan Liga Jepun itu lebih baik berbanding pemain penyandang juara Liga Super lapan kali, JDT.

Walaupun JDT dipandang sebagai kelab bola sepak berkelas 'A' dalam Liga Malaysia (Liga M), namun hakikatnya kualiti pemain tempatan masih lagi di takuk lama dan sudah boleh dijangkakan keputusannya jika pasukan lain Liga M sertai kejohanan tersebut.

Sebelum ini rekod pertemuan pasukan Liga M berdepan kelab-kelab negara Jepun atau Korea Selatan tidak begitu baik kerana Kedah Darul Aman dan Perak FC juga pernah tewas dalam kelayakan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan jaringan yang besar.

Pekan-Ramli

Dr Pekan berpendapat aspek kejurulatihan itu memainkan peranan penting dalam membentuk pemain berkualiti tinggi. Agensi

Bagi pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli, beliau menyenaraikan empat elemen penting yang menyebabkan kualiti pemain tempatan masih di takuk lama walaupun perubahan liga yang dibawa Malaysian Football League (MFL) itu berlaku.

"Aspek pertama yang paling penting dalam pembangunan seseorang pemain bola sepak itu adalah proses latihan yang diterimanya sewaktu di peringkat akar umbi seperti kemahiran individu, kawalan bola ataupun asas ilmu bola sepak.

"Jika semasa di peringkat akar umbi mereka tidak mendapat pendedahan ilmu yang baik, maka perkara ini akan terbawa-bawa sehingga mereka naik ke peringkat senior.

"Aspek kejurulatihan juga memainkan peranan penting bagi seseorang individu bergelar pemain bola sepak, kerana rata-rata barisan kejurulatihan pemain muda ini tidak mempunyai pengalaman yang luas.

"Jika kita melihat dalam liga hanya jurulatih yang sama sahaja mempunyai sijil gred A dalam bidang mereka, jadi pendedahan teknik atau ilmu baharu bola sepak itu tidak berlaku maka kesannya kita boleh lihat pada pemain tempatan," katanya pada Majoriti.

Urawa Red Diamonds (JPN) vs BG Pathum United (THA) during their AFC Champions League 2022 Quarter-Finals - East match at Saitama Stadium on August 22, 2022 in Saitama, Japan. Photo by Victor Fraile / Power Sport Images for FMA

BG Pathum United turut menerima nasib yang sama apabila tewas dengan keputusan 0-4 kepada Urawa Reds. Agensi

Tambahnya lagi, kemampuan kewangan sesebuah pasukan untuk melabur dalam pembangunan pemain perlu diambil kira selain aspek profesionalisme pemain itu sendiri dalam meningkatkan mutu permainan mereka.

"Kelab-kelab juga memainkan peranan penting dalam membentuk pemain berkualiti tinggi seperti perlaburan infrastruktur, pusat latihan, persekitaran stadium, kebajikan pemain dan hal-hal lain.

"Jika kelab dapat bentuk pasukan yang mempunyai taraf kualiti tinggi sekali gus mendorong pemain tersebut beraksi di tahap terbaiknya dalam satu-satu perlawanan.

"Aspek terakhir ialah profesionalisme seseorang pemain bola sepak itu dalam membuat perlaburan ataupun latihan tambahan bagi meningkatkan prestasi mereka.

"Sebagai contoh adakah pemain yang mendapat gaji tinggi ini sudi untuk melantik jurulatih peribadi ataupun pakar pemakanan bagi menjaga diet mereka agar kekal berada di tahap terbaik," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram