Mahu tebus maruah tercalar, dalam diam Selangor cuba pancing 2 pemain sensasi


  • Podium
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Nidzam berkemungkinan sudah mula mengatur langkah buat Selangor FC musim depan.— Agensi

BIARPUN secara zahirnya pengurusan Selangor FC kini sedang menerima kecaman hebat dari pelbagai sudut rentetan kemerosotan prestasi mereka, namun ada kisah lain yang dikatakan berlaku di sebalik tabir pengurusan tersebut.

Pada Sabtu, heboh di media sosial, terdapat satu pasukan yang telah mengambil langkah awal dengan mengintai dua permain kebangsaan untuk diserapkan ke pasukan mereka musim hadapan.

Mengikut perkhabaran tersebut, pasukan tersebut memilih seorang pemain untuk melengkapkan posisi penyerangnya dan seorang lagi bakal ditempatkan di bahagian pertahanan.

Rata-rata peminat meneka pasukan yang dimaksudkan adalah pasukan Selangor FC yang dikatakan sedang berusaha untuk kembali bangkit dari rekod buruk mereka musim ini.

Keengganan Faisal diikat TFC memberikan signal bahawa dia mahu ke kelab lain. Facebook/ PFA Malaysia

Bagi posisi penyerang, nama yang dikatakan sudah menjadi pilihan skuad kendalian Nidzam Jamil itu adalah pemain lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim.

Nidzam pernah akui Faisal memainkan peranannya dengan baik menyusun gerak serangan TFC sehingga mendatangkan masalah buat Selangor terutama di bahagian benteng pertahanan pada perlawanan aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.

Tambah Nidzam, TFC beruntung memiliki pemain seperti Faisal yang berjaya melakukan banyak perkara berbeza sehingga mampu menyumbangkan kemenangan untuk Skuad Penyu.

Khabar angin ini dikuatkan lagi dengan usaha TFC untuk menyambung kontrak pemain sayap kebangsaan Faisal, yang bakal tamat pada 30 November depan dikatakan masih lagi belum membuahkan hasil.

Keengganan pemain berusia 24 tahun itu dipercayai kerana dia sedang mengintai tawaran lebih baik daripada beberapa pasukan lain yang ingin mendapatkan khidmatnya musim depan.

Khuzaimi mampu membantu Selangor FC memperkuatkan lagi jentera pertahanan mereka. Agensi

Sementara itu, bagi posisi pertahanan pula, nama Ahmad Khuzaimi Piee dipetik sebagai calon yang berada di dalam radar Selangor FC.

Tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) itu terkenal dengan kebolehannya memberi variasi taktikal yang mampu menghentikan sebarang ancaman serangan daripada pemain lawan.

Pemain berusia 23 tahun tersebut juga merupakan antara pemain terbaik ketika mewakili negara pada aksi kedua kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Dengan kelebihan ini, tidak hairan sekiranya pasukan Selangor FC berhajat 'menyunting' pemain yang juga dikenali dengan nama Jimmy ini,

Seperti Faisal, kontrak Khuzaimi bersama NSFC juga bakal berakhir penghujung November ini sekali gus menjadikan khabar angin ini seakan-akan satu kenyataan.

Jika benar Selangor FC mengikat dua pemain hebat ini untuk musim akan datang, maka ada harapan buat mereka untuk mengembalikan semula maruah yang tercalar musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram