Bukan kelab lauk! Skin Dessert rakan penaja baharu, optimis kredibiliti Kelantan FC


  • Podium
  • Khamis, 18 Ogos 2022

Norizam berkata, prestasi Kelantan FC pada saingan Liga Perdana itu merupakan faktor terbesar ramai penaja berasa yakin untuk menaja skuad Kijang Emas. — Facebook/Kelantan FC

SAH! Syarikat kosmetik terkenal, Skin Dessert merupakan rakan penaja baharu Kelantan FC dengan menyuntik tajaan sebanyak RM800,000 kepada skuad Kijang Emas.

Pada Rabu, pemilik Kelab Bola Sepak Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan menerusi Facebook rasminya bahawa sebuah syarikat kosmetik mengesahkan secara lisan untuk menaja pasukan itu.

"Penaja dari syarikat kosmetik, pemilik itu dah bayar dekat saya cuma saya tidak nak umum-umumkan. Dia dah bayar deposit. Nama syarikat itu Skin Dessert ambil pakej RM 800,000. MZ Gold RM 300,000, RM 300,000 daripada Hino," katanya kepada Majoriti.

Norizam ataupun dikenali sebagai Zamsaham berkata, prestasi Kelantan FC yang konsisten pada saingan Liga Perdana itu merupakan faktor terbesar ramai penaja berasa yakin untuk menaja skuad Kijang Emas.

Kelantan kini kekal sebagai pendahulu Liga Perdana dengan 35 mata, meninggalkan pesaing terdekatnya, Johor Darul Takzim (JDT) II di tempat kedua dengan 30 mata, namun kurang beraksi satu perlawanan.

Sebelum ini juga, Zamsaham mendedahkan pihaknya menerima permohonan daripada peminat setia pasukan itu yang berminat membeli lima peratus saham The Red Warriors (TRW) dengan nilai RM 3 juta.

kelantan fc main

Kelantan kini kekal sebagai pendahulu Liga Perdana dengan 35 mata. — Facebook Kelantan FC

"Kalau penaja ini mereka hanya nak branding. Mereka dapat marketing mileage. Jadi maksudnya mereka yakin dengan prestasi Kelantan FC. Mereka percaya Kelantan FC ini mampu memberikan nilai.

"Mereka ini nak menaja pada kelab yang okaylah. Bukannya kelab yang jadi lauk sahaja. Asyik kalah," jelasnya.

Bercakap mengenai perancangan TRW pada masa depan, usahawan terkenal itu tidak dapat nafikan bahawa beliau berimpian untuk membuat fasiliti secukupnya buat pasukan itu.

Selain fasiliti, Norizam berkata, bahawa beliau turut memasang impian untuk mempunyai padang di setiap daerah di Kelantan yang mana di kawasan itu juga boleh menjadi tempat berlatih untuk pasukannya.

"Impian saya adalah nak ada padang di setiap jajahan Kelantan. Di setiap Kelantan kalau boleh ada kedai TRW menjual merchandise.

"Kita juga akan ada padang latihan untuk disewakan dan yang kita boleh berlatih di setiap daerah Kelantan. Di samping itu, kita boleh buka bisnes restoran.

"Saya akan terus berusaha untuk meningkatkan nilai. Pada saya perniagaan adalah melibatkan nilai syarikat. Dalam bola ini ada nilai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram