FAM calonkan gol jarak jauh Sean Selvaraj ke Anugerah Puskas, harap sejarah Faiz Subri berulang


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Sean menjaringkan gol jarak jauh ketika perlawanan Liga Super menentang Selangor pada 31 Julai 2022. — Facebook/NSFC

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk mencalonkan gol yang dijaringkan Sean Eugene Selvaraj untuk bertanding dalam Anugerah Puskas 2022.

Perkara itu disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 pada 11 Ogos (Khamis).

"Jawatankuasa mengesahkan untuk gol yang dihasilkan pemain Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai 2022 dihantar secara rasmi cadangan pencalonannya ke FIFA untuk Anugerah Puskas FIFA 2022,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram.

Gol yang dijaringkan Sean mendapat perhatian seluruh dunia, termasuk FIFA yang turut berkongsi jaringan itu di media sosialnya.

Sebelum ini, Malaysia pernah mencipta sejarah apabila jaringan pemain Penang, Faiz Subri menerusi sepakan percuma ketika menentang Pahang diangkat sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016.

Jika gol tersebut memenuhi syarat sah Puskas, maka gol itu layak untuk dicalonkan. Kebiasaannya, jaringan tercantik yang memasuki calon 10 terbaik akan diundi oleh peminat bola sepak dari seluruh dunia sebelum tiga gol terbaik disenarai pendek untuk mencari pemenangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram