Waspada 3 trio samba Viettel, ancaman terbesar The City Boys


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Prestasi pasukan Viettel juga tidak menunjukkan keputusan positif apabila tewas sebanyak tiga kali dalam lima aksi terakhir Liga Vietnam. — Agensi

KUALA Lumpur City FC (KL City FC) akan berdepan gergasi kelab Vietnam, Viettel FC dalam perlawanan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 yang akan berlangsung di Stadium Thong Nhat, Vietnam pada Rabu.

Perlawanan tersebut akan menentukan sama ada KL City sekali lagi berjaya mencipta sejarah baharu layak ke pusingan akhir Zon ASEAN Piala AFC, sekali gus berdepan PSM Makassar yang menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-1 pada Selasa.

Sebelum berangkat ke Vietnam, skuad kendalian Bojan Hodak dibelasah pasukan Johor Darul Takzim (JDT) 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 1 Ogos (Isnin).

Prestasi pasukan Viettel juga tidak menunjukkan keputusan positif apabila tewas sebanyak tiga kali dalam lima perlawanan terakhir dengan menduduki tangga ketujuh dalam Liga Vietnam.

Dijangka pasukan kendalian Bae Ji-won itu akan menurunkan barisan terkuat pada pertemuan malam esok berdepan KL City FC bagi merebut tempat ke pentas akhir Zon ASEAN.

Pada masa sama, harapan peminat tempatan kini hanya disandarkan ke bahu KL City untuk mara ke final Piala AFC selepas Kedah tersungkur di tangan PSM Makassar pada Selasa malam.

Ini merupakan tiga pemain berbahaya yang harus diawasi barisan pertahanan KL City FC ketika berdepan Viettel:

527612_med_.jpg

Pemain berusia 29 tahun ini sudah menjaringkan 11 gol dalam 37 perlawanan. Agensi

1. Caíque Venâncio Lemes (Penyerang)

Sejak 2020, pemain kelahiran Brazil ini sudah berkelana di rantau Asia Tenggara apabila mewakili kelab Chiangmai FC, Chiangrai United (Thailand) sebelum menyertai Viettel FC (Vietnam).

Pemain berusia 29 tahun ini sudah menjaringkan 11 gol dalam 37 perlawanan sejak menyertai Viettel FC dan akan mejadi ancaman buat benteng pertahanan skuad bimbingan Bojan Hodak.

Memiliki ketinggian 1.85 meter, Caíque pasti mempunyai kelebihan untuk menghasilkan gol melalui tandukan.

Pemain ini bagaimanapun sukar mendapat kepercayaan Bae Ji-won untuk beraksi sebagai kesebelasan utama dan lebih banyak tampil sebagai pemain gantian khususnya pada separuh masa kedua jika dia mahu menukar taktikal permainan.

5803294c-fd97-4c1f-95f8-32b0d5937894_ktsl

Pedro berjaya menjaringkan 24 gol dalam 41 perlawanan. Agensi

2. Pedro Paulo (Penyerang)

Sama seperti rakan sepasukan, Pedro Paulo juga sudah berkelana di rantau Asia Tenggara sejak 2017 dengan menyertai kelab di Thailand dan Vietnam.

Pedro yang menyarung jersi nombor 10 ini merupakan tonggak utama buat pasukan Viettel dalam menghasilkan jaringan gol penting.

Pemain berusia 28 tahun ini sudah pun dikenali dalam kalangan peminat bola sepak Vietnam apabila dia muncul sebagai pemain berbahaya ketika mewakili pasukan Sài Gòn FC.

Ketika itu, Pedro berjaya menjaringkan 24 gol dalam 41 perlawanan dan musim ini dalam pertandingan Piala AFC, dia berjaya menghasilkan lima gol serta satu assist dalam tiga perlawanan terakhir.

Gaya permainan pemain ini juga mirip pemain import KL City FC, Romel Morales.

viettel fc

Geovane juga mempunyai ketinggian 1.88 meter yang boleh menjadi ancaman buat pasukan KL City FC. Agensi

3. Geovane Magno (Pemain tengah)

Pemain kidal ini merupakan tonggak utama skuad kendalian Bae Ji-won dalam merencanakan taktikal pasukan dengan menjadi nadi utama serangan Viettel FC dalam menghasilkan gol.

Pada 2022 sahaja, Geovane sudah pun menjaringkan dua gol dan assist dalam tiga perlawanan di Piala AFC 2022 sehingga berjaya memacu pasukannya layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.

Pemain berusia 28 tahun ini menyertai tiga pasukan di Vietnam iaitu Sai Gon FC, Hanoi FC dan Viettel FC.

Geovane juga mempunyai ketinggian 1.88 meter yang boleh menjadi ancaman buat pasukan KL City FC jika berada dalam kedudukan sepakan sudut ataupun sepakan percuma.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, Geovane tidak pernah digugurkan dari kesebelasan utama dalam kempen Piala AFC musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram