Macam main 10 orang tanpa Embalo, Sabah FC jaguh sebenar Derbi Borneo


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Sabah FC terus memberikan tekanan kepada JDT selaku pendahulu Liga Super apabila menewaskan Sarawak United 1-0 di laman sendiri malam tadi. — MFL

SABAH FC terus melakar kemenangan dalam kancah Liga Super apabila berjaya menewaskan jiran terdekatnya Sarawak FC 1-0 dalam aksi Derbi Borneo di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa malam.

Umpanan menerusi penyerang Saddil Ramdani berjaya disempurnakan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63 untuk gol tunggal perlawanan, namun ia sudah cukup untuk skuad The Rhinos memperoleh tiga mata berharga pada perlawanan itu.

sabah fc

Pada perlawanan pertama Derbi Borneo April lalu, Baddrol Bakhtiar turut menjadi wira Sabah. Facebook Sabah FC

Di sebalik kemenangan itu, penyerang import Sabah FC, Jose Embalo terus menjadi topik perbualan dalam kalangan penyokong skuad Sang Badak kerana kegagalannya sekali lagi menemui sentuhan penyudah.

Mana tidaknya, sejak berhijrah ke Sabah pada jendela perpindahan musim kedua, tiada sebarang jaringan yang disumbangkan oleh pemain berasal Portugal itu.

Pada aksi Derbi Borneo itu, penyokong mengumpamakan Sabah FC seakan-akan bermain 10 orang walaupun Embalo turut beraksi.

“Tengok kalau sudah tukar si Embalo itu kan seronok Sabah menyerang. Ini ibarat Sabah hanya bermain 10 orang saja masa pertama itu. Nasib Sarawak tidak gol minit terakhir babak pertama tadi,” kata ON View.

“Alhamdulillah tahniah Sabah FC, Embalo itu memang Sabah kena scam,” kata Shariff Abdullah.

Malah, penyokong dari Sabah FC tidak dapat nafikan jentera pertahanan dan penjaga gawang, Sarawak, Tauffiq Ar Rasyid menjaga gawang lawan di Stadium Likas sangat kukuh sehingga dapat menghalang serangan daripada barisan bintang Sabah FC.

“Syukur, menang tipis pun tidak apa janji tiga mata penuh. Pertahanan Sarawak padu malam ini, penjaga gol mereka pun on form sebab itu Sabah susah nak dapat gol. Dapat satu pun kira okay,” ujar Harry Dulakim.

Kemenangan itu secara tidak langsung meletakkan skuad The Rhinos di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee konsisten menduduki tangga kedua Liga Super dengan 34 mata selepas 15 perlawanan.

Dalam pada itu, aksi Liga Super lain menyaksikan Sri Pahang meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan PJ City 3-0 sementara Negeri Sembilan FC menang tipis 3-2 ke atas Penang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram