Sembang kosong, ramai tak percaya janji manis Kedah nak hadiahkan final Piala AFC


  • Podium
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Sesi latihan pasukan Kedah untuk berdepan dengan PSM Makassar FC pada 9 Ogos ini. — Facebook/KDA FC

PRESTASI turun naik Kedah Darul Aman (KDA) FC menyebabkan penyokong pasukan itu tidak lari daripada perasaan kecewa.

Apatah lagi, pada 27 Julai lalu, Kedah tewas 1-2 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC, manakala pada 1 Ogos lalu, Kedah sekali lagi dibelasah 0-2 di tangan Sri Pahang FC.

Cuba tampil menyejukkan hati penyokong, Khamal Idris Haji Ali berkata, pihak pengurusan telah mengambil tindakan sewajarnya di fasa pertama penilaian prestasi merudum sekitar Jun lalu dengan melakukan perubahan yang sesuai.

sri-pahang (1)

Aksi perlawanan Kedah menentang Pahang baru-baru ini. — Kosmo

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC itu berkata, ini termasuk dengan membawa masuk pemain pertahanan Mohamad Akmal Md Zahir dan dua pemain import tengah, Sanrawat Dechtmir dan Mahmoud Al-Mardi.

"Hasil dari penilaian ketika itu dan tindakan yang diambil telah memberi sesuatu yang positif dengan KDA FC beraksi cemerlang di pentas Asia, dengan menjuarai Kumpulan G seterusnya layak ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

"Proses dan tindakan yang diambil membuahkan hasil. Proses penilaian fasa kedua pasca Piala AFC kali ini akan melalui proses yang sama melalui pendekatan tindakan susulan yang lebih sesuai pendekatannya.

"Antara langkah yang telah diambil dari pihak pengurusan dengan mendapatkan maklum balas dahulu dari pengurusan pasukan, barisan kejurulatihan dan pemain bagi membuat rumusan hasil bedah siasat berkenaan beberapa keputusan perlawanan Liga Super dan Piala FA bulan lepas," katanya dalam satu kenyataan.

297118452_479729903988365_2907496875410473720_n

Sesi latihan pemain Kedah untuk berdepan perlawanan seterusnya baru-baru ini. — Facebook/KDA FC

Mengulas lanjut, Khamal berkata, prestasi semasa pasukan yang perlu diambil perhatian termasuk kawalan bola pasukan dalam setiap perlawanan dilihat lebih dominan, namun perlu lebih dinamik dalam serangan untuk menghasilkan gol.

Selain itu, Khamal berkata, pasukan itu perlu fokus kepada prestasi individu bagi mengurangkan kesilapan mudah.

"KDA FC secara dekat akan memantau setiap perlawanan dan titik tolak tindakan seterusnya adalah melalui penilaian prestasi perlawanan Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC menentang PSM Makassar," katanya.

Tambahnya, pihak pengurusan mendengar semua saranan namun biarlah setiap tindakan diambil bukan berbentuk hukuman, tetapi untuk mencari penyelesaian lebih rasional bagi menaikkan semula semangat pasukan untuk beraksi di pentas separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

"Doakan Sang Kenari dapat mengubati kekecewaan aksi liga dengan menghadiahkan pentas akhir Zon Asean Piala AFC 9 Ogos ini.

"Teruskan sokongan anda dengan kata-kata semangat bagi meniup aura juang sejiwa murni," katanya.

Menganggap kenyataan tersebut hanya sebagai 'tin kosong', rata-rata penyokong hanya mahu melihat kejayaan pasukan Kedah.

Adiputra Bang Chik mempersoalkan hasil yang diperoleh Kedah apabila kenyataan itu dikeluarkan.

"Boleh diamkan fan (penyokong)? Lepas tu team (pasukan) kena gasak lagi. Kalau nak sembang macam ni, kedai kopi bolehlah. Fan tak minat okay.

"Jadikan negeri Kedah bukan negeri kampung dan naikkan sukan Kedah bukan sekadar jaguh kampung. Apatah lagi sukan bola Kedah. Harap faham la essay (karangan) saya ni," sindirnya.

Sementara itu, Mohd Fadzil Salam berkata: "Boleh habaq ja la, setakat berjanji nak berubah dan akan buat Kedah kembali ke landasan yg betul. Semua orang Kedah dah tahu yang pengurusan memang teruk.

"Lepas AFC klu Kedah tetap tak boleh menang juga, elok la CEO (ketua pegawai eksekutif) buat pengumuman bersara ja. Pegang jawatan besar pun tak guna kalau asyik dok kena balun dengan fan ja."

Ayie Kalasentana juga berpendapat: "Peminat tak peduli semua itu. Hanya nak kemenangan. Bola sepak bukan berdasarkan keputusan sainfifik.Nak jaringan gol.Kalau pemain tak cergas macam mana nak menang."

Kedah akan menghadapi saingan Piala AFC menentang kelab dari Indonesia, PSM Makassar FC di Bali, Indonesia pada 9 Ogos ini.

Pasukan itu kini berada di tangga keenam dalam Liga Super, memperoleh lima kemenangan daripada 13 perlawanan, serta berjaya mengutip 17 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram