SEORANG jurulatih liga tempatan bakal direhatkan jika pasukan bimbingannya tewas dalam satu perlawanan yang diharungi mereka nanti.
Berita itu disampaikan pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu ciapan di Twitter pada Jumaat.
Menjengah ke ruangan komen di laman sosial itu, seorang peminat bola tanah air, Elvin Yap mendakwa, jurulatih yang dimaksudkan itu mungkin Michael Feichtenbeiner yang mengendalikan skuad Selangor FC ketika ini.
Dia turut berasakan jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak juga mungkin berisiko direhatkan susulan prestasi tidak menentu skuad tersebut.
"Mungkin Feichtenbeiner direhatkan berbanding Aidil Sharin kerana Selangor mempunyai kumpulan pemain yang baik tapi masih tak dapat keputusan yang diharapkan," katanya.
Peminat bola sepak di Twitter turut membuat spekulasi ia mungkin membabitkan pasukan Penang FC yang dikendalikan Datuk Zainal Abidin Hassan.
Namun ia juga dirasakan agak mustahil berikutan beliau baru mengambil tempat Tomas Trucha pada 1 Jun lalu bagi mengharungi baki saingan musim ini.
Begitu juga dengan Datuk Dollah Salleh yang dilantik sebagai ketua jurulatih interim Sri Pahang FC pada 21 Julai lepas bagi menggantikan Christophe Gamel sehingga penghujung musim ini.
Dalam perkembangan berkaitan, selain prestasi tidak menentu, Kedah juga bergelut dengan masalah kecergasan yang menyaksikan para pemainnya mudah hilang fokus dan tidak belajar dari kesilapan.
Justeru, penyokong Sang Kenari mendesak agar jurulatih kecergasan skuad Kenari, Khairulanwar Md Isa dipecat.
Pasukan Selangor pula gagal menyerap DNA Jerman Feichtenbeiner yang dikatakan berdepan isu ketidakserasian dengan para pemain.
Para pemain Selangor sering kali hilang arah di atas padang, biarpun mereka memiliki kekuatan dan kemahiran yang seimbang di dalam pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram