Selamat tinggal Rodriguez, selamat datang Lucero?


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Rodriguez akan menyertai pasukan Persis Solo yang kini beraksi di Liga 1 Indonesia. — Facebook JDT

KELAB Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat mengumumkan pemain penyerang import mereka, Fernando Rodriguez dilepaskan selepas hampir tiga musim bersama skuad Harimau Selatan.

Untuk musim ini, Fernando Rodriguez menyerlah bersama pasukan JDT II yang beraksi di Liga Perdana dan merupakan pendahulu penjaring terbanyak dengan meledak 8 gol setakat ini.

“Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Fernando Rodriguez. Terima kasih atas khidmat dan komitmen yang cemerlang,” tulis kenyataan rasmi kelab itu.

Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu dikatakan memilih untuk melebarkan sayapnya di Indonesia dengan menyertai pasukan Persis Solo yang kini beraksi di Liga 1 Indonesia.

Penghijrahan Rodriguez ke Persis Solo itu dikongsi dalam satu ciapan Twitter dari Persis English.

“Fernando Rodriguez ke Persis Solo hanya tunggu masa sahaja. Perjanjian telah dilakukan oleh Johor Darul Takzim dan Persis Solo, ayuh,” ujar laman peminat Persis Solo.

Dalam pada itu, susulan dengan kenyataan rasmi dari skuad Harimau Selatan itu, ramai penyokong menimbulkan spekulasi bahawa legenda JDT, Juan Martín Lucero akan kembali menyarung jersi pasukan itu.

WhatsApp Image 2022-08-05 at 4.21.47 PM

Tangkap layar Insta Story Lucero. Instagram

Dakwaan itu timbul selepas Lucero berkongsi gambar menerima dua jersi rasmi dari pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Insta Story.

“Rasanya Lucero akan kembali, Lucero pun dah dapat dua jersi JDT dari Tuanku,” kata penyokong, Akulah AG.

“Lucero dalam perjalanan dengan menaiki Roll Roys limousine...Jeng jeng jeng,” kata Rumaisya Amani.

“Sekali sekala masuk JDT 1 tak mengecewakan. Adakah Lucero akan kembali?,” ujar Muhammad.

Sebagai rekod, Juan Martin Lucero yang beraksi selama 1 musim bersama JDT berjaya merekodkan 37 penampilan dalam semua pertandingan dengan 2,900 minit masa bermain, menjaringkan 27 gol secara keseluruhannya.

Musim 2016 juga menyaksikan dia berjaya membantu JDT merangkul tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan juga Piala Sumbangsih, sebelum dilaporkan dibeli oleh Club Tijuana dengan harga sekitar RM11.5 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram