Piala FA: Polis periksa badan, beg penyokong datang SSMZA, rampas barang terlarang


  • 112
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Pihak polis akan menempatkan 400 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan sepanjang perlawanan. — Agensi

POLIS akan menempatkan 400 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan sepanjang perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata, ia bagi memastikan kelancaran perlawanan bola sepak antara pasukan Terengganu FC dan Selangor FC termasuk aliran trafik yang dijangka sesak di sekitar lokasi stadium.

"Orang ramai atau penonton diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan ke kawasan pintu utama SSMZA," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Rahim berkata, pemeriksaan badan dan beg juga akan dilakukan bagi memastikan penonton tidak membawa masuk bahan terlarang yang boleh menggugat keselamatan.

Menurutnya barangan larangan itu termasuk mercun, bunga api, suar, mancis, pemetik api dan sebarang objek tajam seperti pisau, payung dan besi.

"Saya juga mahu ingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan kekacauan dengan mengadakan perhimpunan atau perarakan sebelum atau selepas perlawanan. Sebarang provokasi akan dikenakan tindakan tegas sekiranya ditangkap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram