SAINGAN Liga Super 2023 akan menerima format baharu apabila Malaysian Football League (MFL) meluaskan penyertaan liga kepada 18 pasukan.
Perubahan format liga itu akan menjadikan Liga Malaysia menjadi lebih kompetitif berbanding saingan 12 pasukan sahaja.
“Liga Super 2023 akan menyaksikan 12 pasukan Liga Super 2022 dengan tambahan enam kelab dari Liga Premier 2022,” kata MFL dalam pengumuman yang dibuat 20 Julai lalu.
Begitupun sebahagian besar penyokong bola sepak tanah air merasakan pengumuman awal MFL berhubung format itu dibuat terlalu awal kerana banyak kelab sekadar pelengkap jadual memandangkan tiada penyingkiran musim depan.
Bahkan, ada pemain kelab-kelab tertentu dirasakan tidak memberikan 100 peratus komitmen di atas padang susulan pengumuman tersebut.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan keadaan itu tidak membantu perkembangan yang positif dalam konsep persaingan yang sihat dalam sukan bola sepak.
Beliau berkata, apabila sesuatu liga itu perlu benar-benar kompetitif dengan memasukkan proses relegasi dan derelegasi, ia dapat membantu mewujudkan saingan yang sihat.
Ia juga katanya, sebagai galakan atau motivasi kepada kelab-kelab baharu yang dapat memberikan saingan hebat hingga muncul sebagai juara liga bawahan bagi membolehkannya meningkat naik dan seterusnya dapat beraksi dalam liga tertinggi.
"Kalau hanya satu liga sahaja dan tidak naik pangkat dan turun pangkat ini, kita seolah-olah menutup peluang kepada kemunculan pasukan-pasukan atau kelab-kelab baru dan juga pemain-pemain di divisyen bawahan untuk bercita-cita tinggi.
"Ia boleh menimbulkan suatu keadaan stereotaip yang negatif dan perasaan rendah diri," katanya kepada Majoriti.
Pekan bagaimanapun berkata, jika amalan itu dibuat secara sementara di bawah penstrukturan Liga Malaysia itu, MFL selaku badan pengelola mungkin mempunyai alasan tertentu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan tercorot dalam liga tertinggi pula akan berasa selesa, tidak tergugat atau bimbang dimalukan turun ke divisyen bawahan.
"Keadaan ini tidak membantu perkembangan yang positif dalam konsep persaingan yang sihat dalam sukan bola sepak. Pada pandangan saya ada pro dan kontra apabila sesuatu liga bola sepak profesional itu tidak mengaplikasikan konsep relegasi dan derelegasi ini.
"Kita tengok walaupun negara kecil dengan jumlah penduduk tak sampai sejuta atau hanya beberapa juta sahaja seperti Montenegro, Gibraltar, Malta, Barbados dan Faroe Island, mereka tetap mempunyai liga divisyen satu dan dua di mana berlaku proses relegasi dan derelegasi," katanya.
Pekan bagaimanapun berkata, jika amalan itu dibuat secara sementara di bawah penstrukturan Liga Malaysia itu, MFL selaku badan pengelola mungkin mempunyai alasan tertentu.
"Mungkin MFL ada sebab tertentu antaranya untuk memastikan pasukan atau kelab yang bersaing pada 2023 nanti benar-benar stabil dari sudut kewangan dan urus tadbir.
"Ini supaya kelab-kelab itu dapat bersaing untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum berdepan dengan konsep relegasi dan derelegasi itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram