AKSI melibatkan pertembungan antara Sabah FC dan Melaka United FC berakhir dengan kemenangan memihak kepada tuan rumah iaitu skuad Sang Badak mengatasi Sang Kancil, 2-1.
Meskipun beraksi tanpa beberapa pemain tonggak seperti kapten, Baddrol Bakhtiar namun ia bukan alasan buat skuad Sabah FC untuk tidak mempamerkan aksi cemerlang mereka.
Pemain legenda, Amri Yahyah muncul sebagai hero Sabah FC apabila menjaringkan dua gol dari untuk Sang Badak dan sekali gus menyumbang tiga mata berharga buat pasukan itu.
Amri Yahyah dipilih sebagai Man of the Match pada perlawanan menentang Melaka United itu. — Facebook Sabah FC
Bagaimanapun, di sebalik kemenangan pasukan Sabah FC di laman sendiri itu, timbul perkara kontroversi yang dikatakan merosakkan suasana perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Difahamkan, sewaktu perlawanan itu kelihatan dua bendera berunsur parti politik dikibarkan oleh dua orang penyokong dan perkara itu menjadi antara topik utama dibincang dalam kalangan peminat Sabah FC.
Penyokong Sabah FC menyatakan ketidakselesaan mereka melihat bendera Barisan Nasional (BN) dan bendera Bersatu dikibarkan dan ia dikatakan tidak sesuai dengan semangat kesukanan.
Membahas isu berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, perkara itu sedang diteliti oleh pihak MFL kerana membawa bendera sewaktu perlawanan termaktub dalam perturan Liga Malaysia.
"Kami sedang meneliti perkara ini sekarang. Kami juga menyedarinya dan tindakan akan diambil sewajarnya jika perlu.
"Membawa bendera politik semasa perlawanan adalah tidak dibenarkan dan ia dalam peraturan Liga Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Merujuk kepada manual Liga Malaysia, MFL menyatakan hanya bendera Malaysia dan bendera kedua-dua kelab sahaja yang dibenarkan dibawa masuk dan dikibarkan semasa permainan.
Lain-lain bendera termasuklah bendera parti politik tidak dibenarkan dibawa masuk, dipamerkan atau dikibarkan semasa permainan.
Sementara itu, pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir menegaskan pihak pengurusan Sabah FC akan melalukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan mengenai isu bendera parti politik itu.
"Sepatutnya perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana bola sepak ini merupakan sukan yang amat diminati ramai tanpa mengira status, agama, umur dan anutan politik.
"Kita akan serahkan kepada jawatankuasa keselamatan, pengurusan tiket dan stadium untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya," jelasnya.
Malah, Marzuki juga menyatakan pihak pengurusan Sabah FC akan lebih peka dalam menguruskan isu seperti itu di masa hadapan bagi memastikan ia tidak akan berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram