'Dia memang layak,' Azraai approve bekas anak buah ganti Aidil


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Prestasi merudum yang dihadapi Kedah ketika ini amat merisaukan penyokong. — Bernama

NAMA Tan Cheng Hoe hangat diperkatakan bakal membuat kemunculan semula untuk menguruskan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Meskipun enggan mengulas mengenai khabar angin tersebut, desas-desus yang mengaitkan jurulatih berusia 54 tahun itu dengan skuad Sang Kenari terus meniti di bibir penyokong bola Kedah.

Jika Cheng Hoe benar-benar kembali ke skuad Lang Merah, dia dirasakan calon yang sesuai mengambil alih tempat Aidil Sharin Sahak yang berkemungkinan akan ditamatkan kontrak pada hujung musim ini.

Salah seorang legenda Kedah yang memberi persetujuan awal terhadap pelantikan Cheng Hoe untuk mengendalikan pasukan Hijau Kuning ialah Azraai Khor Abdullah.

Menurutnya, Cheng Hoe memiliki kriteria dan pengalaman yang mencukupi untuk mengendalikan Kedah dan memulihkan prestasi pasukan itu yang dilihat semakin merudum.

"Cheng Hoe was my player. (Dia bekas pemain saya). I know him. (Saya mengenali dia).

"Dia pernah mengendalikan skuad kebangsaan dengan pengalamannya. Dia pernah memenangi Malaysia Cup untuk Kedah dan sebagainya, tentulah dia calon yang sesuai," katanya kepada Majoriti.

azraai khor

Azraai berkata, Cheng Hoe memiliki kriteria dan pengalaman untuk mengendalikan Kedah dan memulihkan prestasi pasukan itu. — Facebook

Azraai Khor merasakan pelantikan Cheng Hoe tidak perlu dibuat secara terburu-buru memandangkan musim ini sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Lagipun katanya, tidak banyak yang boleh dibuat oleh bekas jurulatih Harimau Malaya itu jika dia menyertai Kedah dalam situasi semasa pasukan tersebut yang merudum dalam saingan Piala FA serta Liga Super 2022.

"Kalau Cheng Hoe masuk dalam keadaan sekarang pun apa yang dia boleh buat, nasi dah jadi bubur.

"Bagi saya tak perlu kalut nak tukar (jurulatih) awal-awal. Dah bulan Ogos, tinggal berapa bulan sahaja lagi. Jadi biar Aidil habiskan kontraknya dengan Kedah secara terhormat," ujar Azraai lagi.

Sebagai rekod, Azraai dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Piala Presiden Malaysia Kedah pada tahun 1991 dan pernah terlibat sama dalam kelab belia Kedah pada 1991, 1994, 1998 dan 2002.

Beliau turut dikenang sebagai jurulatih yang membawa pasukan bola sepak Kedah menjulang tiga piala utama serentak selama dua musim berturut-turut (double treble) pada 2007 dan 2008.

Cheng Hoe pula bermain untuk Kedah dalam tiga perlawanan akhir Piala Malaysia dari 1988 hingga 1990. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram