'Tiada rahsia antara kita' — Azraai minta pengurusan Kedah jujur dengan penyokong


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Azraai merasakan pihak pengurusan perlu jujur kepada penyokong berkenaan masalah yang membelenggu skuad Sang Kenari ketika ini.

PRESTASI semasa pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan domestik menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat skuad Sang Kenari itu.

Di sebalik kejayaan melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala AFC Zon Asean, namun prestasi tidak konsisten Kedah menggusarkan banyak pihak termasuk bekas jurulatih pasukan itu.

Bekas jurulatih double treble bola sepak Kedah pada 2007 dan 2008, Azraai Khor Abdullah mempunyai pendapat tersendiri mengenai apa yang terjadi kepada pasukan Kedah.

Beliau merasakan pihak pengurusan perlu jujur kepada penyokong berkenaan masalah yang membelenggu skuad Sang Kenari ketika ini.

‘Terima kasih CEO KDA FC (Khamal Idris Ali) calling tadi. (Beliau) nak tahu statement saya dalam Facebook Hijaukuning.Com tentang pengurusan. Saya tulis pengurusan seolah-olah merahsiakan keadaan, kita tak tahu apa yang berlaku.

“Setelah sembang panjang lebar, beliau pun panjang juga bercerita. Apa-apa pun saya cadangkan jumpalah wakil-wakil penyokong kita, kongsi bersama mereka apa yang sebenarnya berlaku,” jelas Azraai dalam status yang dimuat naik di laman Facebook milik beliau.

Dalam masa yang sama, Azraai turut berkongsi kata-kata daripada bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allayarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil.

“Arwah pernah berkata, tiada rahsia di antara kita dengan penyokong kita. The team is nothing without the fans. There is nothing to hide.... (Sesebuah pasukan bola tidak ada apa-apa jika mereka tidak mendapat sokongan peminat, tiada apa yang perlu disembunyikan). Berani kerana benar,” luah Azraai lagi.

Terdahulu, Azraai Khor meninggalkan komen berkenaan prestasi tidak menentu skuad Sang Kenari di ruangan komen Facebook Hijaukuning.Com.

"Pihak pengurusan seolah berahsia... Kita tak tahu apa yang tak kena," tulisnya.

Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu kini menduduki tangga ke-6 Liga Super dan dua perlawanan terkini mereka berakhir dengan episod kekalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram