'Kena berani turunkan pemain muda,' Azraai kongsi tip kejayaan double-treble


  • Podium
  • Khamis, 04 Ogos 2022

Azraai berkata, program pembangunan sesebuah pasukan di peringkat negeri dan sebagainya sangat penting bagi memastikan kelangsungan kelahiran pemain muda. — FB Khairil Ajhar

DIKENALI sebagai pasukan yang sentiasa memberi cabaran dalam saingan Liga Super Malaysia, skuad Kedah Darul Aman (KDA FC) pernah digeruni pasukan lawan.

Malah suatu masa dahulu, Kedah di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah pernah menjulang kejuaraan double-treble pada tahun 2007 dan 2008.

Sebagai jurulatih yang membawa pasukan bola sepak Kedah menjulang tiga piala utama serentak selama dua musim berturut-turut, sudah pasti pengalamannya ditagih pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Namun, Azraai yang sudah bersara daripada arena bola sepak lebih selesa menjadi pemerhati perkembangan sukan bola sepak tanah air.

fb_img_14920094753301

Azraai Khor (dua kiri) pernah menjulang kejuaraan double-treble pada tahun 2007 dan 2008.

Berkongsi resepi kejayaan Lang Merah semasa era double-treble, Azraai berkata, dia menaruh kepercayaan kepada pemain muda untuk bermain dengan skuad utama walaupun mereka kurang berpengalaman.

"Kira-kira 75 peratus pemain dalam pasukan ketika itu bawah umur 21 tahun. Lebih manis lagi, mereka anak jati Kedah," katanya kepada Majoriti.

Azraai yang terkenal dengan jolokan Midas Touch berkata, wira double-treble Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Kyril Muhymeen Zambri misalnya diberikan pendedahan awal supaya mereka dapat mengutip pengalaman bermain dalam perlawanan sebenar.

"Kyril Muhymeen dan Baddrol bukan terus masuk macam tu (jadi pemain 90 minit), saya bagi mereka peluang main bila dekat nak habis game.

"Bagi mereka merasa 10 minit pertama, kemudian bagi 15 minit lagi...dedah kepada perlawanan sebenar secara perlahan-lahan. Apabila gradually tengok ada peningkatan terhadap pemain-pemain ini, baru bagi kepercayaan sepenuhnya," kata Azraai.

1631982318_19092100092518000000614612eec48bf

Wira double-treble Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) dan Kyril Muhymeen Zambri. — Facebook

Tambahnya, dia juga kerap memasukkan pemain muda sebagai pemain gantian supaya mereka dapat membina keyakinan apabila beraksi atas padang sekali gus membentuk kesinambungan kepada diri pemain dan pasukan.

Ujarnya lagi, apa yang dilakukan itu boleh dicontohi dalam usaha memulihkan prestasi semasa Kedah yang dilihat tidak menentu sekarang.

"Perlu ada keberanian pada diri seseorang jurulatih itu untuk mencorakkan barisan pemain yang terdiri dalam kalangan ubi muda.

"Tapi lain padang, lain belalang, lain jurulatih, lain caranya. Bab-bab kejurulatihan ini terpulang kepada individu itu sendiri untuk mencorakkannya," katanya.

Beliau turut menyentuh isu kekurangan pemain muda di skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), bawah 19 tahun (B-19) dan bawah 17 tahun (B-17).

"Itupun sekarang dah nampak kurang ubi dari Kedah termasuk dalam skuad kebangsaan sedangkan suatu masa dulu ubi muda cukup sinonim dengan Kedah.

"Jadi di sini letaknya kepentingan program pembangunan sesebuah pasukan di peringkat negeri dan sebagainya.

"Persatuan bola sepak Kedah perlu ambil iktibar dan perlu meneliti semula pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram