TANPA semangat yang kental, tidak mungkin badang negara, Mohamad Aniq Kasdan berjaya mencipta kejutan menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England baru-baru ini.
Sebelum berlepas ke Birmingham, Mohamad Aniq berkata, beliau sebenarnya hanya meletakkan sasaran perak memandangkan pertama kali membuat penampilan di temasya berprestij itu selain menyedari dirinya tidak menjadi sandaran utama menyumbang emas.
"Memang pada mulanya hanya sasar pingat perak namun setibanya di Birmingham, saya cakap dengan diri sendiri untuk kena kuatkan mental dan fizikal supaya dapat bawa pulang pingat emas dan bukan pingat lain.
"Skuad negara datang seminggu lebih awal di sini jadi kami dapat berlatih di 'warm up area' bersama dengan atlet negara lain. Situasinya lebih tegang sebab sudah berada dalam 'mood' bertarung mewakili negara masing-masing," katanya.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu berterima kasih kepada jurulatihnya, Yon Haryono yang juga bekas atlet angkat berat Indonesia kerana sentiasa memberikan motivasi dan menenangkan dirinya.
Berkongsi pengalaman di Birmingham, Mohamad Aniq berkata, beliau sedikit gementar sebelum memulakan saingan, namun apabila terbayang keluarga di kampung membuatkan beliau bersemangat untuk mengerahkan segala tenaga seterusnya berjaya mencipta rekod baharu temasya.
"Pada angkatan ketiga dan terakhir, saya cakap dekat diri sekiranya saya mampu angkat, pasti dapat emas dan rakyat Malaysia akan bangga dengan diri saya. Saya juga mahu kemenangan ini untuk menjamin masa hadapan yang lebih cerah dalam sukan angkat berat," katanya yang akan mewakili Johor pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 September depan.
Sabtu lepas, Mohamad Aniq menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas dalam kategori 55 kg lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan seberat 249kg (snatch 107kg, clean & jerk 142kg).
Pingat perak dimenangi atlet India, Sanket Mahadev Sargar dengan angkatan keseluruhan 248kg manakala gangsa menjadi milik Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka dengan angkatan 225kg.
Pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas, Mohamad Aniq meraih gangsa selepas membaharui rekod kebangsaan miliknya dengan angkatan sejumlah 252kg (snatch 110kg, clean & jerk 142kg), mengatasi rekod 249kg yang dicatatkan di Kejohanan Angkat Berat Dunia, hujung tahun lepas. —Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram