KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyeru anak buahnya supaya bangkit memburu kemenangan ketika berdepan pasukan PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, pada Isnin.
Menurut pengendali muda yang semakin meningkat itu, TFC tidak mampu lagi berputih mata selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Sabah FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang mengakibatkan mereka keciciran enam mata.
Justeru, beliau mengingatkan semua pemain supaya lebih fokus dan mengelak kesilapan mudah yang boleh mengakibatkan mereka dihukum lebih-lebih lagi di hadapan penyokong sendiri.
"Kita dah kalah kepada The Phoenix pada pusingan pertama dahulu. Jadi di tempat sendiri takkan kita nak kalah lagi.
"Keputusan perlawanan kita di tempat lawan tak bagus, jadi pemain wajib kembalikan kemenangan untuk bersaing di kelompok atas liga," katanya.
Dalam pada itu, Nafuzi berkata, tonggak pertahanan importnya, Pape Diakite yang digantung dua perlawanan sebelum ini sudah boleh kembali beraksi di padang.
Bagaimanapun, beliau tetap dibelenggu kerisauan apabila beberapa pemain utamanya mengalami masalah kesihatan dan terpaksa direhatkan pada perlawanan itu nanti.
"Setakat ini Faiz Nasir, Zuasyraf Zulkiefle dan Muhd Azalinullah Alias masih demam manakala Kipre Tcheche pula diserang influenza dan diberi cuti. Ini agak merisaukan kerana mereka tonggak utama kita (TFC).
"Selain itu ada juga pemain utama yang cedera dan dalam situasi 50-50 untuk bermain. Kita akan tentukan skuad utama petang ini...tengoklah mana pemain yang tinggal," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram