'Mengejutkan lantik Fandi Ahmad sebagai penasihat teknikal, bukannya coach'


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Fandi (kanan) pernah menjadi ketua Jurulatih Lions XII dan membantu pasukan tersebut menjuarai Piala FA Malaysia edisi 2015. — Agensi

PADA 21 Julai lepas, pihak pengurusan Sri Pahang FC mengumumkan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, menyertai skuad Tok Gajah selaku penasihat teknikal baharu kelab Liga Super itu.

Bekas pemain kelahiran Singapura itu pernah membimbing beberapa pasukan antaranya Johor Darul Takzim (JDT), skuad kebangsaan Singapura, pasukan pembangunan Singapura (Young Lions) dan skuad Bawah 23 Tahun Singapura ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu.

Jawatan terakhir yang disandang oleh Fandi sebelum menyertai Sri Pahang ialah Ketua Pembangunan Elit Remaja Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), selain turut tersenarai dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Singapura dibawah kendalian Tatsuma Yoshida.

Fandi merupakan salah seorang daripada pemain yang menganggotai skuad Pahang ketika muncul selaku juara Liga Premier dan Piala Malaysia 1992 yang mana Dollah Salleh turut merupakan sandaran utama pasukan tersebut pada ketika itu.

Screenshot 2022-07-28 at 17-32-28

Pekan Ramli merasakan keputusan melantik Fandi Ahmad sebagai Pengarah Teknikal Sri Pahang FC agak mengejutkan. Agensi

Bagi pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli, beliau secara peribadi berpandangan, keputusan untuk melantik Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal Sri Pahang FC sedikit mengejutkan tetapi mungkin legenda Singapura itu mempunyai alasan tersendiri untuk memilih jawatan itu.

"Saya agak terkejut apabila Fandi Ahmad dilantik sebagai Penasihat Teknikal Sri Pahang FC dan bukan sebagai ketua jurulatih.

"Pada andaian saya ini mungkin ada kaitan dengan soal komitmen yang mungkin tidak dapat dipenuhi oleh Fandi untuk berada di Pahang sepanjang masa jika dilantik sebagai ketua jurulatih atau mungkin ada sebab-sebab lain yang tidak mencapai titik persetujuan antara kedua belah pihak yang kita tidak ketahui.

"Maka, saya percaya memadailah dengan melantik Fandi sebagai pengarah teknikal sahaja yang mana dia tidak perlu berada sepanjang masa dengan pasukan.

"Nama pun pengarah teknikal dan tugasnya tidak perlu melatih pasukan tetapi mungkin lebih kepada perkongsian idea dan strategi perlawanan dengan ketua jurulatih interim yang dilantik iaitu Dollah Saleh," katanya kepada Majoriti.

Fandi-Ahmad-instructs-Zulfadhmi-Suzliman-during-National-Team-training-on-6-Sep-2018

Rekod Fandi dalam bidang kejurulatihan juga begitu luas sebagai penolong jurulatih dan jurulatih hampir 20 tahun. Facebook/FA Singapura

Tambahnya lagi, kehadiran legenda Singapura itu ke dalam kem skuad Tok Gajah pasti akan memberikan tonik tambahan buat pihak pengurusan dengan pengalaman luas diperolehi Fandi untuk menjadi penasihat teknikal.

"Saya rasa mungkin Fandi masih ada komitmen dengan hal-hal bola sepak di Singapura yang masih belum selesai. Saya juga tidak rasa Fandi suka ketua jurulatih kerana kalau tidak sudah pasti dia sudah lama memegang jawatan itu dengan pasukan lain.

"Siapa pun tidak boleh menafikan profil Fandi sebagai pemain hebat di rantau Asia Tenggara yang pernah beraksi di luar negara bersama pasukan Niac Mitra, Gronigen termasuk Kuala Lumpur dan Pahang selama hampir 20 tahun sejak 1978 hingga 1999.

"Rekod Fandi dalam bidang kejurulatihan juga begitu luas sebagai penolong jurulatih dan jurulatih hampir 20 tahun sejak 2000 hingga 2019 ketika bersama Singapore Armed Forces, Young Lions, Pelita Jaya, JDT dan lain-lain.

"Profilnya terlalu kukuh dan menyakinkan serta banyak kejayaan beliau capai cuma tiada satu pun kejayaan itu dikaitkan dengan peranannya sebagai pengarah teknikal pasukan atau kelab tersebut.

"Apa pun tidak mustahil kekayaan pengalaman sebagai jurulatih itu boleh diaplikasikan kepada pengarah teknikal dengan mudah," ujarnya.

1673822

Fandi menyertai Sri Pahang FC selaku penasihat teknikal baharu pasukan. Facebook/Sri Pahang FC

Menurutnya lagi, beliau berasakan gandingan Fandi Ahmad dan Dollah Salleh bakal menjadi rujukan buat pemain-pemain muda pasukan Pahang terus berjaya di masa akan datang.

"Dua orang legenda bola sepak hebat ini, seorang Malaysia dan seorang Singapura dan pernah beraksi bersama dalam satu pasukan hebat pada era tersebut.

"Bagi saya dua orang legends ini pasti akan menjadi idola buat pemain-pemain muda Sri Pahang. Cuma untuk melakar keajaiban dalam masa yang singkat pasti sukar buat Pahang walau siapa pun ketua jurulatih atau pengarah teknikal yang dilantik.

"Hati saya juga terdetik dengan apa yang berlaku kepada skuad Tok Gajah ini seperti pasukan yang terkena 'sumpahan buruk' yang melanda dan membawa nasib malang kepada mereka dalam dua tahun berturut-turut ini.

"Sejauh mana atau selama mana ia akan berdamping dengan pasukan ini, mungkin hanya masa yang akan menentukan.

"Mungkin rombakan besar-besaran perlu dilakukan musim depan dan siapa tahu segala sumpahan itu akan hanyut sekali dari sungai jauh hilang ke lautan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram