DISIPLIN dan pertahanan yang baik membolehkan Sri Pahang FC akhirnya mencatatkan kemenangan pertama skuad Tok Gajah selepas lima perlawanan terakhir dengan membenam Selangor FC 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Rabu.
Ketua jurulatih interimnya, Dollah Salleh berkata, kemenangan itu yang membolehkan mereka mengutip tiga mata penuh, bukan hanya memberi kelegaan kepada dirinya, namun paling utama ia mampu menyuntik semangat baharu kepada anak buahnya untuk menghadapi perlawanan mendatang.
"Jika dibandingkan permainan Sri Pahang pada malam ini dengan perlawanan menentang Penang FC pada suku akhir Piala FA lalu, saya lihat aksi kita bertemu Penang FC adalah jauh lebih baik.
"Bagaimanapun, nasib lebih menyebelahi kita hari ini selain disiplin pemain dalam bertahan dapat menyekat kemaraan pasukan lawan dan membantu jentera serangan sekali gus membawa kemenangan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, dua gol Sri Pahang dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi pemain import Steven Rodriguez pada minit ke-34 sebelum jaringan Abdul Malik Mat Ariff menewaskan penjaga gol lawan Samuel Somerville selang lima minit kemudian.
Dollah berkata, strategi dan perancangan rapi juga dilakukan sebaiknya sebelum perlawanan bermula mengambil kira kekuatan Selangor FC di bahagian tengah, yang ternyata dipamerkan pasukan lawan apabila lebih menguasai perlawanan pada awal permainan.
"Saya boleh katakan hampir semua perancangan yang dibuat berjaya dilaksanakan pemain, walaupun ada masanya permainan kita menjadi kelam-kabut sehingga membolehkan lawan membawa bola dari bawah ke tengah padang tanpa disekat," katanya.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berkata, keputusan perlawanan mungkin berbeza jika anak buahnya mampu menterjemahkan semua peluang yang diperoleh kepada jaringan gol.
Peluang terbaik Selangor untuk menjaringkan gol hadir seawal minit ke-17 menerusi percubaan pemain tengah Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, namun sepakannya terkena palang gol.
"Pada babak kedua, saya cuba memberi keyakinan kepada pemain agar lebih bersemangat walaupun sudah ketinggalan... tetapi ia belum cukup untuk membawa perubahan dan kami terpaksa akur dengan keputusan ini," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram