MASKOT rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang didedahkan baru-baru ini, cukup istimewa kerana ia bukan sahaja hasil rekaan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, malah hasil cetusan ilham anak Malaysia.
Maskot yang dinamakan Perry itu direka oleh Emma Lou dari Bolton, Greater Manchester.
Rekaan itu dipilih menerusi sebuah pertandingan peringkat nasional yang diadakan di United Kingdom dan disertai kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun.
Pada pertandingan itu, maskot rekaan Emma terpilih sebagai pemenang. Difahamkan, ibu bapanya berpindah dari Malaysia dan menetap ke United Kingdom pada 2007.
Nama Perry yang dipilih merujuk kepada Perry Barr di Birmingham, di mana Alexander Stadium akan menjadi tuan rumah acara pembukaan dan penutupan temasya Sukan Komanwel.
Lembu jantan sangat sinonim dengan Birmingham. Malah Birmingham memiliki sebuah pasar Bull Ring berhampiran pusat beli-belah Bullring yang terkenal dengan arca ikonik berbentuk lembu jantan.
Corak heksagon berwarna-warni pada badan Perry pula melambangkan bentuk paling kuat dan saling bergantung antara satu sama lain, manakala limpahan pelbagai warna mewakili gabungan Komanwel dalam perkongsian sama dengan pelbagai komuniti Birmingham dan West Midlands.
Pingat pada leher Perry pula adalah tanda terima kasih kepada Jewellery Quarter bersejarah Birmingham, iaitu sebuah pengeluar barang kemas terbesar seumpamanya di Eropah yang menghasilkan 40 peratus daripada barang kemas UK.
Sementara itu, jalur biru, merah dan kuning pada kitnya adalah warna yang sama dengan bendera rasmi Birmingham.
Sukan Komanwel Birmingham akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun depan dan akan menjadi acara sukan paling mahal yang diadakan di Britain sejak Olimpik London 2012. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram