Lagi 'hint' pengganti Mora ada kaitan Newell's Old Boys


  • Podium
  • Khamis, 28 Jul 2022

Diego berpengalaman menguruskan beberapa kelab di Argentina termasuk Newell's Old Boys pada tahun 2011. — Agensi

PENGGANTI bekas pengendali skuad Johor Darul Takzim (JDT) masih menjadi tanda tanya selepas Benjamin Mora sah tidak lagi bersama kelab elit selatan tanah air itu.

Terbaharu, pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam memberi bayangan jurulatih itu mungkin ada kaitan dengan sebuah kelab Argentina, Newell's Old Boys yang pernah melahirkan legenda bola sepak seperti Lionel Messi dan Diego Maradona..

"Newell's Old Boys," ciapnya ringkas pada Khamis.

newell

Ciapan ringkas Zulhelmi yang mungkin ada kaitan dengan pengganti Mora. — Twitter

Sebelum ini Zulhelmi turut memberi bayangan bahawa bayangan jurulatih itu sudah tiba di Johor Bahru.

Pada masa sama, seorang pengguna Facebook, Azha Adha membuat spekulasi kononnya pengganti Mora berasal dari Argentina dan berumur 49 tahun.

Menerusi satu hantaran status, Azha mengucapkan selamat datang kepada D_ _ _ _ _ C_ _ _ _ _ yang didakwa sebagai jurulatih baharu JDT.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan sumber berita itu.

bola grup

Azha Adha membuat spekulasi kononnya pengganti Mora berasal dari Argentina dan berumur 49 tahun. — Facebook

Majoriti turut melaporkan Diego Cagna antara tiga calon yang disebut-sebut peminat sukan bola sepak tempatan bakal menggantikan Mora.

Diego merupakan salah seorang pemain Argentina yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan itu sekitar tahun 1988 hingga 2005.

Beliau juga berpengalaman menguruskan beberapa kelab di Argentina termasuk Newell's Old Boys pada tahun 2011. Kelab terakhir yang dikendalikannya adalah Jorge Wilstermann, sebuah kelab Bolivia.

Menurut data transfermarkt.com, Diego, 52, tidak terikat dengan mana-mana kelab ketika ini selepas meninggalkan kelab profesional Bolivia itu pada 24 September 2021.

Berdasarkan bayangan kelab Newell's Old Boys yang diberikan Zulhelmi selain pangkal nama DC itu, kemungkinan besar Diego Cagna adalah individu yang dimaksudkan.

Siapapun pengganti Mora, pengumuman berhubungan pelantikan baharu itu perlu disegerakan bagi membolehkan pemain JDT tampil lebih bersedia menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Urawa Red dari Jepun pada peringkat 16 terbaik di Saitama, 19 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram