Benjamin Mora bukan alasan, JDT pantas 'move on' demi bergelar juara


  • Podium
  • Rabu, 27 Jul 2022

Bergson mencipta gol peribadi yang ke-14 dalam perlawanan menentang Sarawak United di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Rabu. — Facebook

KETIADAAN bekas ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora sedikit pun tidak menjejaskan prestasi skuad Harimau Selatan apabila berjaya menundukkan Sarawak United FC bagi mengutip tiga mata penuh dalam saingan Liga Super 2022, pada Rabu.

Beraksi tanpa beberapa pemain utama seperti Arif Aiman yang diganti dengan Ramadhan Saifullah dan Fernando Forestiere dengan Hazwan Bakri pada babak pertama, JDT yang turut bersama pembantu jurulatih, Hamzani Omar, tidak berdepan masalah untuk menguasai perlawanan di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Hazwan yang diberi kepercayaan sekali lagi selepas mencipta gol sulung ketika aksi menentang Melaka United pada suku akhir Piala FA, Ahad lepas, terus menyinar selepas menjaringkan gol pertama buat JDT pada minit ke-13 perlawanan.

Mengekalkan momentum serangan, penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva mencetak gol kedua JDT pada minit ke-22 sekali gus meletakkan pasukan itu pada kedudukan selesa pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, Harimau Selatan terus membelasah Sarawak selepas Syahmi Safari mencipta gol ketiga pada minit ke-79 hasil lorongan bola daripada Shane Lowry kepada Forestiere sebelum disudahkan pemain berusia 24 tahun itu.

Sarawak United beberapa kali cuba mencipta serangan namun berjaya dipatahkan penjaga gol, Farizal Marlias. Ini termasuk sepakan cantik daripada Stuart Wark yang hampir menggegarkan gawang JDT di separuh masa kedua.

Malah kapten pasukan JDT itu menerima asakan pada minit-minit akhir perlawanan termasuk satu insiden rempuhan dengan Francis Kone pada masa tambahan.

JDT terus berpesta gol selepas Forestiere menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 sekali gus melenyapkan impian Ngap Sayot untuk meleburkan rekod tanpa kalah JDT.

Dengan kemenangan itu, JDT mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan 32 mata menerusi 12 perlawanan setakat ini.

Manakala Sarawak United FC di tangga kedua tercorot liga dengan 10 mata selepas 13 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram