PERTEMUAN dua pasukan yang bersaing di pentas Piala AFC iaitu KL City dan Kedah Darul Aman (KDA) berkesudahan dengan kemenangan memihak kepada tuan rumah dengan keputusan 2-1 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.
Walaupun cemerlang menewaskan Sarawak United sebelum itu di laman sendiri, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak gagal untuk meneruskan momentum tersebut.
Dalam perlawanan tersebut, Kedah terlebih dahulu memperoleh gol pertama menerusi pemain muda berbakat, Aiman Afif sebelum KL City melakukan kebangkitan pada separuh masa kedua menerusi dua gol jaringan Jordan Mintah.
Pada minit ke-58 pasukan Kedah berpeluang untuk menjaringkan gol kedua namun sepakan penalti Ronald Ngah Wanja tersasar ke palang gol sekali gus membuatkan penyokong Hijau Kuning berang dengan pemain import tersebut.
Sebelum ini Ronald Ngah atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dilihat seolah-olah tidak dapat memenuhi jangkaan tinggi peminat Sang Kenari gara-gara reputasi gahnya selaku penjaring terbanyak Liga Jordan musim lepas.
Pada pertemuan menentang KL City, Ronald Ngah gagal menyempurnakan sepakan penalti. — Facebook/Kedah FC
Selepas perlawanan menentang KL City pada Rabu, rata-rata penyokong Kedah tidak berpuas hati dengan corak permainan Ronald Ngah dan taktikal yang direncanakan oleh jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Shahrin.
"Waktu sepakan penalti cuba bagi orang lain yang ambil, contohnya Al-Mardi ke? Pak Ngah ini masa perlawanan Piala AFC lawan pasukan Bali United pun sepak bola ke langit," luah Bro Jay.
"Corak permainan Kedah lambat betul, walaupun pegang bola tapi nak serang itu memang slow, Ngah Wanja main bersahaja cuba tahun depan cari pemain yang rajin dan lincah sikit," ujar Zull Kulim.
"Pihak pengurusan Kedah ini bila nak tukar coach Aidil? JDT yang tengah bagus itu pun dah lepaskan Benjamin Mora," kata Mat Usop.
"Pak Ngah ini modal nak habiskan liga sahaja, nampak sangat manja, hilang bola, harap badan sahaja besar kena tolak sikit jatuh, bukan sekali dua macam ini hampir setiap perlawanan, mati kutu tengok dia main bola," jelas Selipar Getah.
"Makin menyampah tengok corak permainan Kedah ini, pihak pengurusan tak sedar ke yang pihak lawan dah boleh baca taktikal coach Aidil, tukar sajalah bagi jurulatih baru tak pun ambil balik Tan Cheng Hoe," tulis Mohd Fadil.
Jaringan gol Ronald Ngah tersenarai dalam gol paling cantik di peringkat kumpulan Piala AFC 2022. — Facebook/Kedah FC
Sebelum ini, penyerang import itu antara pemain yang tersenarai dalam gol paling cantik di peringkat kumpulan Piala AFC 2022.
Gol tersebut disenaraikan laman sesawang AFC Cup bersama sembilan lagi jaringan gol yang lain untuk diundi penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram