Walaupun terkandas, GBX Esports tetap harumkan nama negara


  • eSports
  • Isnin, 25 Jul 2022

Dalam 10 perlawanan di peringkat kumpulan mereka berjaya merekodkan 5 kemenangan, 1 seri dan 4 kekalahan sekali gus meletakkan GBX Esports di tangga kedua kumpulan D.

PASUKAN GBX Esport tetap mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 yang sudah menutup tirainya di Bella Arena, Copenhagen, Denmark pada Sabtu.

Dalam kejohanan tersebut GBX Esports diundi bersama-sama 5 pasukan gergasi di dalam kumpulan D yang mana mereka adalah pasukan NEO, TEAM GULLIT, DUX AMERICA, FNATIC dan DIRE WOLVES.

Walaupun ini merupakan penampilan pertama buat GBX Esports di pentas FIFAe Club World Cup 2022, pasukan yang diwakili oleh Luqman Haziq Hajiman (LuqmanHzq) dan Ahmad Akmal Abd Rafil (AkmalJHD) berjaya merekodkan keputusan positif.

Dalam 10 perlawanan di peringkat kumpulan mereka berjaya merekodkan 5 kemenangan, 1 seri dan 4 kekalahan sekali gus meletakkan GBX Esports di tangga kedua kumpulan D dan melayakkan pasukan itu ke pusingan kalah mati dalam kejohanan tersebut.

Kemenangan terbesar mereka dalam kumpulan D ialah apabila berjaya menewaskan pasukan DUX America dengan jaringan 5-1 pada pusingan pertama perlawanan kumpulan D.

294612136_10160281111982074_1943198411755790224_n

GBX Esports berada di tangga kedua kumpulan D dan melayakkan pasukan itu ke pusingan kalah mati dalam kejohanan tersebut.

Namun begitu perjalanan GBX Esports terhenti apabila tewas tipis kepada pasukan SAF dengan agregat 5-7 walaupun pada awalnya mereka berjaya menewaskan pihak lawan itu dalam pusingan 16 (pertama) dengan jaringan 3-1.

Menurut salah seorang anggota GBX Esports, Ahmad Akmal, mereka berasa sangat berpuas hati apabila beraksi baik dalam peringkat kumpulan D kerana berjaya menewaskan beberapa pasukan yang hebat dan menempah tiket ke pusingan kalah mati.

"Sepanjang 3 hari perlawanan, pada hari pertama saya rasa itu best performance kami sebab dapat kutip 10 mata dan menewaskan beberapa pasukan besar seperti Team Gullit, Dux America dan Dire Wolves.

"Kami juga menunjukkan persembahan yang baik bertemu pasukan Fnatic dan pada hari kedua pula kami berjaya menempah slot ke pusingan kalah mati," katanya pada Majoriti.

294421139_454430590022669_933467753880421382_n

Perjalanan GBX Esports terhenti apabila tewas tipis kepada pasuka SAF dengan agregat 5-7 pada pusingan kalah mati.

Tambahnya lagi, walaupun tewas pada pusingan kalah mati tetapi mereka tetap memberi saingan pada pihak lawan sehingga mendapat pujian daripada pasukan SAF di laman sosial Twitter.

"Malangnya semalam (Sabtu) kami tidak dapat kalahkan pasukan terkuat dari United Kingdom (UK) tapi tidak mengapa kerana perlawanan itu sangat sengit dan GBX Esports hanya tewas dengan agregat 5-7.

"Walaupun tewas, pasukan SAF tetap memuji kami di Twitter kerana corak permainan yang ditampilkan oleh GBX Esports lain daripada pasukan Eropah, kini kami hanya mahu enjoy dan berharap dapat berjumpa anda semua di kejohanan seterusnya," ujarnya.

Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 berjaya dimenangi oleh pasukan Riders daripada Sepanyol yang menewaskan SAF dengan agregat 2-1 sekali gus berjaya merebut hadiah bernilai USD 300,000 (RM 1,200,000). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram