Nafuzi gembira, wira skuad Penyu hampiri sasaran peribadi


  • Podium
  • Ahad, 24 Jul 2022

Antara aksi pemain TFC ketika menentang Kuching City pada aksi suku akhir Piala FA di SSMZA. —  Facebook TFC

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) melahirkan rasa syukur dan gembira selepas skuad Penyu berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas membenam Kuching City FC 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu, Sabtu.

Lebih manis, kemenangan itu diraih di hadapan lebih 20,000 penyokong yang menjadi pemain ke-12 pasukan tersebut.

Menurut Nafuzi, dengan kemenangan tersebut, TFC kini hanya selangkah untuk ke final seterusnya melengkapkan misi menjulang sekurangnya-kurangnya satu piala musim ini.

"Alhamdulillah..walaupun bermain dalam keadaan yang sukar dan penuh tekanan, TFC berjaya melangkah ke final selepas kali terakhir pada 2018.

"Saya amat berterima kasih kepada pemain yang telah memberi yang terbaik dan membawa skuad Penyu ke separuh akhir Piala FA kali ini," katanya selepas perlawanan suku akhir Piala FA di SSMZA di Kuala Nerus.

Pada aksi separuh akhir nanti, TFC bakal membuat perhitungan dengan pasukan gergasi merah kuning, Selangor FC yang turut merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Likas.

Sementara itu, penyerang import skuad Penyu, Kipre Tcehtche yang muncul wira selepas meledak dua gol untuk pasukan itu pada perlawanan pada Sabtu itu berkata, beliau tidak sabar untuk beraksi di pentas separuh akhir selepas sekian lama.

Kata Tcehtche, beliau sendiri mempunyai sasaran peribadi untuk membantu TFC mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala pada saingan liga musim ini.

"Saya fikir ia adalah sasaran semua orang untuk melangkah ke final dan memenangi piala (FA). Ia juga menjadi sasaran saya kerana saya terlepas aksi final pada 2018... jadi saya mahu kembali ke final pada tahun ini dan berharap kami berpeluang (memenanginya),” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram