PERTEMBUNGAN akhir Piala Malaysia Futsal 2022 di antara Selangor MAC menentang Pahang Rangers FC (PRFC) di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, Selangor pada Sabtu mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Selangor MAC berjaya membuktikan kehebatan mereka selepas menundukkan pasukan lawan, Pahang Rangers 4-3 dan menjulang Piala Futsal Malaysia 2022.
Bagaimanapun, aksi akhir itu tidak berjalan dengan lancar apabila ia dicemari dengan insiden pergaduhan antara kedua pasukan yang dipercayai berpunca dari kekasaran pemain.
Insiden itu dipercayai tercetus apabila pemain Selangor, Ekhmal Shahrin didakwa menjatuhkan Saiful Nizam Mohd Ali (Pahang Rangers) sehingga mereka berdua terlibat dalam pergaduhan.
Menerusi video perkongsian dari pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam, pertelingkahan antara kedua pemain itu terpaksa dihentikan dengan bantuan daripada rakan sepasukan dan pihak pengurusan mereka.
Rakaman video pergaduhan pada aksi akhir Piala Malaysia Futsal 2022.
Susulan kejadian itu, dua pemain berkenaan dilayangkan kad merah pada minit ke-11.
Meskipun berasa sedih dengan insiden perbalahan dan kekalahan itu, penyokong PRFC terpaksa akur pasukan kegemarannya hanya mampu menduduki tempat kedua setelah dua kali ditewaskan oleh skuad Selangor.
"Pahang tidak koyak, pemain Selangor yang jatuhkan pemain Pahang. Lepas itu dia ketuk kepala pemain Pahang itu. Pemain Pahang tidak pernah buat hal, sangat penyabar," kata penyokong PRFC, Eyja.
Aksi merebut kejuaraan Piala Futsal Malaysia yang pertama kali diadakan pada tahun ini itu merupakan kejuaraan kedua yang dimenangi pasukan Selangor musim ini selepas berjaya menewaskan skuad sama, PRFC pada saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).
Khairul Effendy Mohd Bahrin dan Firdaus Ambiah masing-masing menyumbat dua gol buat Selangor FC dan sekal igus membantu pasukan itu merangkul kejuaraan Piala Malaysia Futsal 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram