FRU selamatkan penyokong kibar mafla JDT


  • Podium
  • Ahad, 24 Jul 2022

Penyokong pelawat melakukan provokasi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah dengan berlari sambil mengibarkan mafla JDT. — TikTok

AKSI suku akhir Piala FA menemukan tuan rumah Melaka United melayan kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) yang mana kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan pada Sabtu, ternyata tidak terlepas daripada insiden panas.

Sejak awal permainan JDT terus mengasak kubu pertahanan pasukan Melaka bagi memastikan mereka tidak dikejutkan oleh tuan rumah.

Kesungguhan tinggi pelawat membolehkan mereka berjaya meledak gol pertama seawal minit keempat menerusi Hazwan Bakri sekali gus mengejutkan tuan rumah yang baharu sahaja cuba mengatur gerak untuk memasuki kubu pelawat.

294861193_2346002638896355_169219342457347915_n

Bergson berjaya menanduk bola masuk ke dalam gawang gol pasukan Melaka sekali gus memastikan kemenangan JDT. Facebook / JDT

Melaka United dihadiahkan sepakan penalti yang dilihat sedikit kontroversi pada minit ke-82 selepas Sony Norde dijatuhkan Leandro Velazquez dan pemain itu dengan tenang menyudahkannya menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Namun, harapan tuan rumah untuk mengheret aksi ke masa tambahan lebur apabila tandukan Bergson selepas menerima hantaran Nazmi Faiz pada masa kecederaan memastikan JDT mara ke separuh akhir.

Dalam perlawanan tersebut berlaku satu insiden melibatkan seorang penyokong pelawat dipercayai melakukan provokasi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah apabila dikatakan berlari sambil mengibarkan mafla JDT selepas Harimau Selatan berjaya menghasilkan gol.

Beberapa penyokong Melaka United bertindak untuk melindungi lelaki tersebut keluar dari kawasan tersebut.

Menerusi video yang dikongsikan oleh @dekuzaru di TikTok, selepas perlawanan kelihatan penyokong Melaka United secara beramai-ramai mengerumuni lelaki berbaju merah itu sebelum dihalang oleh beberapa individu.

Ketika kejadian, penyokong JDT berkenaan enggan bergerak dari tempat duduk kerana khuatir akan dipukul oleh orang ramai dan disebabkan itu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengarahkan lelaki tersebut keluar dari ruangan tersebut.

Selepas dipujuk oleh beberapa penyokong Melaka United yang bertindak untuk melindungi lelaki tersebut akhirnya dia memilih untuk bangun dan keluar dari kawasan itu sebelum diiringi pasukan FRU keluar ke perkarangan stadium.

Tinjaun di ruangan komen video tersebut, rata-rata peminat bola sepak memberikan pelbagai reaksi dan ada juga menasihati supaya penyokong tidak terlalu terikut-ikut akan budaya luar.

"Sebenarnya, awal-awal lagi lelaki itu dah cakap dia penyokong JDT, semua dekat kawasan itu relaks dan siap gelak-gelak lagi, lepas dah kena gol last minit tiba-tiba semua emosi pula," kata @farishahdyu.

"Sebaik-baiknya penonton duduklah di tempat penyokong yang disediakan, mencegah lebih baik daripada mengubati," jelas @refereekampung.

"Jangan ikut sangat budaya orang luar, ini sukan yang mengeratkan silaturahim tak perlu nak beremosi sangat," ujar @bumblebee8488.

"Kesian tengok muka pak cik itu, dia duduk situ bukan masalah pun lagi dia duduk seorang jadi tak perlu nak kerumun dia lepas itu nak maki-maki," luah @muhdhafiq.

293979450_449961033653289_763737411699110580_n

Melaka United gagal mengulangi pencapian musim lepas apabila layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2021. Facebook / Melaka United

Kekalahan kepada JDT membuatkan impian pasukan Melaka United untuk mencipta sejarah ke separuh akhir Piala FA berkecai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram