'Tidak terkecuali,' Subkhiddin ulas insiden pengadil sepak pemain


  • Podium
  • Ahad, 24 Jul 2022

Tangkap layar aksi pengadil menendang Fazly Mazlan. — Twitter

ISU membabitkan pengadil sering mencetuskan kontrvesi dalam aksi bola sepak sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong samada golongan tersebut sememangnya layak untuk mengadili sebuah perlawanan.

Jika beberapa perlawanan dalam Liga Malaysia sebelum ini, penyokong menimbulkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan yang dilihat ada unsur 'pilih kasih' namun terbaharu ketika aksi Selangor FC menentang Sabah FC, sikap pengadil pula dilihat agak biadap.

Menerusi kiriman video pemerhati sukan, T. Avineshwaran pada laman Twitter menunjukkan aksi pengadil perlawanan itu iaitu Suhaizi Shukri dilihat menendang kaki pemain pertahanan Selangor, Fazly Mazlan.

Rakaman video aksi pengadil menendang Fazli Mazlan.

"Adakah pengadil menyepak Fazly Mazlan? Ia kelihatan seperti satu sepakan kepada saya. Itu nampaknya tidak betul kepada saya. Musim ini, pengadil telah menjadi tajuk utama berita. Kita boleh meneruskan dan meneruskannya. #SABSEL #FACup2022," katanya.

Situasi itu difahamkan terjadi apabila pemain berasal dari Muar, Johor itu dikatakan membantah keputusan pegawai perlawanan kerana memberikan sepakan percuma kepada Sabah ekoran dia dipersalahkan kerana menjatuhkan Baddrol Bakhtiar.

Melihat aksi yang dirakam dari siaran langsung itu, rata-rata penyokong menyalahkan dan mempersoalkan sikap jurulatih itu yang disifatkan tidak pandai mengawal marah sehingga memilih untuk membuat tindakan berkenaan.

Malah, ada juga yang beranggapan bahawa Fazly Mazlan yang terlebih dahulu memijak kaki pengadil dan disebabkan aksi itu, pengadil membalas dengan melayangkan kakinya kepada pemain itu.

"Pengadil ini patut diambil tindakan. Perlu ke sepak pemain? Tahulah dia ada kuasa dalam padang," kata penyokong, Fdhlbs.

"Nampak pengadil sengaja cuba memanaskan lebih keadaan supaya ada sebab kukuh untuk layangkan kad merah. Pengadil di Malaysia sahih majoriti pengecut," kata peminat bola sepak, Ris.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, turut memberi maklum balas mengenai isu kontroversi berkenaan.

Menurutnya, bagi situasi itu, tiada sebarang pengecualian perlu diberikan buat mana-mana pihak dan segalanya perlu diadili sebaik mungkin buat pengadil dan pemain terlibat.

"Tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak, lebih-lebih lagi pengadil. Yang bersalah perlu diadili dengan sewajarnya. Saya perhatikan tangan pemain berkenaan terdapat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di situ. Biar mereka diadili sebaik-baiknya," katanya pada laman Twitter.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu menyaksikan Selangor melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah 2-0 pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram