Penyokong JDT tunjuk sikap terpuji sang juara


  • Podium
  • Isnin, 18 Jul 2022

Tangkap layar penyokong JDT tolong membuang sampah-sarap.

PENYOKONG Johor Darul Takzim (JDT) mendapat pujian orang ramai termasuk peminat dari kelab lain apabila membersihkan stadium selepas pasukan Harimau Selatan itu menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Menerusi perkongsian video dari laman Facebook, Satu Johor menunjukkan beberapa orang penyokong pasukan itu berganding bahu bekerjasama mengutip botol minuman serta sampah-sarap selepas perlawanan itu berakhir.

Rakaman video penyokong JDT mengutip sampah-sarap selepas perlawanan itu.

Meskipun hanya datang sebagai pelawat, namun sikap murni yang ditunjukkan pemain-12 JDT itu wajar menjadi contoh peminat bola sepak lain apabila bertandang ke pasukan lawan mahupun laman sendiri.

Malah ada juga penyokong yang membezakan sikap penyokong JDT dan Sabah susulan tingkah laku buruk peminat Sang badak yang membaling botol air ke arah padang serta kawasan teknikal di tepi padang.

Akibat dari sikap segelintir Sabah FC itu, terdapat penyokong Sabah memohon maaf kepada pemain ke-12 JDT.

"Penyokong tuan rumah buat sepah, penyokong tetamu yang bersihkan. Apa pun memang terbaik dari Johor," kata Malique Iskandar.

"Etika murni...semoga berkekalan walaupun di tempat berbeza...Syabas penyokong JDT...Anda lebih baik dari yang terbaik," ujar penyokong, Jumadi Rahmat.

Perlawanan yang disaksikan lebih 30,000 penyokong Sabah itu menyaksikan keputusan memihak kepada JDT 2-1.

Gol Sabah terhasil melalui jaringan Park Tae Su manakala Fernando Forestieri menghadiahkan kemenangan kepada JDT dengan menyumbat dua jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram