KEKALAHAN pasukan Sabah FC pada minit akhir perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Jumaat lalu membuatkan para penyokong segera mencari kambing hitam yang menyumbang kepada kekalahan tersebut.
Pada aksi tersebut, Sabah terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum penyerang import JDT, Fernando Forestieri berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26.
Bagaimanapun ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Forestieri memastikan skuad Harimau Selatan membawa pulang tiga mata apabila bijak menyempurnakan sepakan percuma pada minit akhir perlawanan.
Melihat kepada keputusan tersebut, penyokong Sabah ternyata kecewa dengan prestasi pemain import mereka.
Penyokong Sabah, Sharani Dani menyarankan agar penyerang baharu pasukan Negeri Di Bawah Bayu tersebut, Jose Embalo direhatkan kerana prestasinya disifatkan sebagai merugikan pasukan Sabah sahaja.
Pendapat tersebut disokong oleh Azizi Jiji yang turut meletakkan cadangan agar anak jati tempatan, Amri Yahya dijadikan sebagai pemain utama.
"Biar Embalo simpanan saja. Amri ni biar pun umur 41, masih rajin mengejar bola dan laju lagi lari, serba boleh. Embalo itu bagi masuk waktu 10 minit terakhir sahaja," katanya.
Agasliagmoktar Agmoktar menyokong cadangan agar Amri Yahya atau mana-mana pemain muda Sabah diberi peluang berbanding mengharapkan pemain import.
"Tengok JDT (Johor Darul Takzim), ada pemain muda yang hebat sebab bakat yang ada tidak disimpan lama," tegasnya.
Walaupun sudah berusia 41 tahun, Amri Yahya dikatakan masih berbisa.—Agensi
"Disokong 101 peratus tuan. Biar dia balik negerilah (balik ke negaranya). Dia buat rugi Sabah FC saja. Tak dapat juga dia boleh bantu skuad Sabah FC tahun ini," tambah Si Fu.
Terdahulu, Embalo dibawa masuk oleh Datuk Ong Kim Swee bagi menggantikan tempat penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa yang digugurkan kerana penurunan prestasi selain masalah kecederaan.
Pasukan Sabah FC kalah 1-2 di laman sendiri yang menyaksikan skuad itu hanya berpuas hati di kedudukan kedua carta Liga Super 2022 dengan 22 mata.
Harimau Selatan terus kekal sebagai penyandang carta dengan jumlah 26 kutipan mata menerusi 10 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram