PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran supaya tidak melantik ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara dalam kalangan barisan kejurulatihan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Malah menurut bekas Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee, tindakan itu disifatkan akan mengganggu persiapan skuad senior negara menjelang Pusingan Akhir Piala Asia yang dijadualkan berlangsung tahun depan.
"Sebabnya, sekiranya individu dilantik itu mempunyai dua jawatan, saya berasakan ia akan merencatkan persiapan Malaysia menjelang Piala Asia nanti.
"Malah bukan itu sahaja, skuad B-23 negara juga mempunyai tugas besar pada tahun depan iaitu Sukan Asia dan kelayakan Sukan Olimpik 2024.
"Jadi saya rasa lebih elok kita lantik seorang jurulatih baharu yang tidak terlibat dalam mana-mana pasukan kebangsaan ketika ini, supaya mereka akan lebih fokus dalam melakukan kerja mereka,” kata yang juga bekas pengendali Harimau Muda, ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Maloney gagal membawa skuad muda B-23 mara lebih jauh dalam kejohanan Piala Asia 2022 B-23 apabila tidak mengutip sebarang mata dengan 3 kekalahan. — Facebook / FAM
Sebelum ini pada Rabu, FAM mengumumkan melepaskan Brad Maloney daripada mengendalikan skuad B-23 negara atas persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Susulan peletakan jawatan tersebut, terdapat beberapa nama yang dikhabarkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maloney, antaranya ialah pembantu pasukan Harimau Malaya, E Elavarasan dan Paul Marti Vicente.
Selain itu, nama bekas jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak-bum juga turut dikaitkan bagi mengisi jawatan tersebut.
Pada masa sama, pengendali Sabah FC itu berpandangan individu yang mengisi posisi ditinggalkan Maloney juga perlu mempunyai falsafah bola sepak sama seperti dibawa Pan-gon dalam pasukan Harimau Malaya ketika ini.
Kim Swee pada musim ini menyertai pasukan Sabah FC sebagai ketua jurulatih yang baharu. — Facebook / Sabah FC
Jelas Kim Swee, perkara tersebut cukup penting dalam memastikan kesinambungan antara pemain senior dan muda negara dapat diteruskan yang dilihat bakal memberi nilai tambah kepada pasukan negara pada masa depan.
"Bagi saya, apa yang penting sekarang, individu dilantik itu nanti perlulah mempunyai falsafah bola sepak yang sama dengan Pan-gon gunakan ketika ini. Mereka juga perlu ada kerjasama yang baik.
"Ini kerana apabila individu itu ada kerjasama baik, kongsi falsafah bola sepak yang sama, saya rasa kita akan dapat meneruskan kesinambungan antara pemain muda dan senior negara.
"Justeru saya berpendapat, eloklah sekiranya FAM melibatkan ketua jurulatih baharu skuad B-23. Ini kerana segala pendapat dan pandangan yang diberikan perlu diambil kira," ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram