SEBUAH portal bola sepak Austria, LigaPortal melaporkan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi akan beraksi bersama salah sebuah kelab di negara itu menjelang musim baharu bola sepak Eropah pada Ogos akan datang.
Menurut LigaPortal melalui laporan mereka dalam sebuah artikel Liridon bakal disambar oleh pasukan ASKÖ Dionysen, kelab Divisyen Empat di dalam hierarki bola sepak Austria.
Liridon dipercayai bakal menyertai pasukan ASKÖ Dionysen yang bersaing dalam liga divisyen empat Austria. — Twitter
Liridon kini berstatus ejen bebas dan tidak bersama mana-mana kelab sejak kontrak beliau bersama Odisha FC di Liga Super India (ISL) tamat pada awal Julai ini.
Perkara ini tidak mengejutkan kenapa Odisha tidak menyambung khidmat pemain tengah itu selepas sumbangannya dianggap tidak banyak memberikan impak positif untuk membantu pasukan tersebut sepanjang tempoh semusim berada di liga berkenaan.
Sebelum ini status pemain kelahiran Kosovo bersama pasukan JDT juga turut menjadi tanda tanya selepas Liridon menyertai skuad Harimau Selatan pada awal musim 2020 daripada pasukan Melaka United.
Sejak menyertai JDT dua tahun lalu, pemain kelahiran Kosovo itu dipinjamkan ke Newcastle Jets (Australia) sebelum berhijrah ke India bagi menyertai Odisha FC pada Ogos tahun lalu.
Odisha tidak menyambung khidmat pemain tengah itu selepas sumbangannya dianggap tidak banyak memberikan impak positif buat pasukan. — Facebook / Odisha FC
Sepanjang semusim bersama Odisha, Liridon gagal menghasilkan sebarang jaringan atau assist sepanjang 16 penampilan bersama pasukan itu pada musim lalu.
Masa depan Liridon terus menjadi tanda tanya selepas tidak sambungkan kontrak dan pemain naturalisasi negara ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Thailand bersama pasukan Sukhothai FC baru-baru ini.
Bersama pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon, Liridon hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja ketika perlawanan persahabatan bertemu Singapura sebelum dia digugurkan ketika senarai akhir 23 pemain bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2023.
Tangkap layar Insta Story Liridon selepas digugurkan.
Selepas digugurkan oleh Pan-go Liridon memuat naik status di IG story miliknya dan memberi gambaran perasaannya yang sedang kecewa dan hampa selepas namanya digugurkan dari skuad Harimau Malaya.
Sepanjang bergelar pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon sering dikecam oleh penyokong-penyokong Harimau Malaya kerana corak permainannya yang suka melambat-lambatkan tempo permainan pasukan.
Buat masa ini Liridon dipercayai masih berada di Munich, Jerman dan berdasarkan kemaskini di media sosial, pemain itu sedang sibuk mempersiapkan diri untuk saingan musim baharu.
Kemungkinan untuk pemain berusia 30 tahun ini beraksi di Austria juga tidak boleh dinafikan memandangkan Austria dan Jerman hanya berjiran dan pasaran perpindahan di Eropah masih lagi dibuka.
Jika benar pemain naturalisasi kebangsaan ini memilih untuk menyertai liga divisyen 4 Austria menjadi persoalan adakah hayat Liridon bersama Harimau Malaya sudah berakhir selepas dia juga digugurkan oleh Pan-gon? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram