'Angkat kening pun menyampah' — Satu Sabah salahkan Embalo


  • Podium
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Penyokong Sabah FC tidak berpuas hati dengan prestasi Jose Embalo (kiri). — Facebook/Johor Southern Tigers

KESILAPAN saat akhir memberi sepakan percuma di depan gawang menyaksikan Sabah FC terpaksa gigit jari apabila tunduk 1-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat.

Ketegangan di antara pemain Sabah dan JDT juga berlaku pada minit akhir perlawanan berikutan kekasaran terhadap pemain tuan rumah yang menimbulkan rasa tidak puas hati, khususnya dalam kalangan skuad Sang Badak.

Namun, skuad Harimau Selatan akhirnya membawa pulang tiga mata selepas mencipta dua gol menerusi Fernando Forestieri pada minit ke-26 dan ke-90+5, sekali gus mengecewakan lebih 20,000 penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas, Sabah.

JDT dilihat lebih menguasai perlawanan di awal permainan manakala Sabah lebih banyak bertahan dan gerak serangan Harimau Selatan lebih tertumpu kepada Arif Aiman di bahagian sayap kanan.

292541700_3284598345120609_481780325816498896_n

Penyokong Sabah tidak gembira dengan aksi yang ditampilkan Jose Embalo ketika menentang JDT pada Jumaat. Facebook/ Sabah FC

Kekalahan pada Jumaat jelas tampak penyokong Sabah tidak berpuas hati dengan pemain import baharu Sang Badak, Jose Embalo yang menggantikan pemain kelahiran Brazil, Neto Pessoa di jendela perpindahan kedua.

Di ruangan komen Facebook, rata-rata penyokong Sabah tidak gembira dengan aksi yang ditampilkan penyerang import kelahiran Portugal itu sejak tiga aksi terdahulu termasuk ketika menentang JDT pada Jumaat.

Embalo juga bertindak luar kawalan terhadap pemain JDT selepas pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih memberikan sepakan percuma kepada pasukan pelawat di luar kotak penalti Sabah pada minit ke-94 yang berjaya disempurnakan Forestieri untuk menjamin kemenangan JDT.

"Terus terang saya cakap dia memang tidak sesuai dengan taktikal pasukan Sabah FC, nampak kaku dan tidak berfungsi di dalam padang," luah Lucky Endar Pratama.

"Penyerang import Sabah dibayar gaji lebih tinggi dari pemain tempatan, tapi kalau penyerang yang hanya berjalan dan tiada impak positif di dalam padang lebih baik tak perlu guna khidmat dia," tulis Nick Queen.

"Embalo diturunkan dalam tiga perlawanan tapi impaknya masih belum nampak, mungkin dia lebih sesuai jadi pemain pertahanan," ujar William Anderson.

"Tamatkan saja kontrak Embalo ini, lebih bagus ambil Rozaimi semula, jauh lebih baik. Ini kalau angkat kening pun semua orang dah menyampah," jelas Stanley Chee.

293042678_2339758382854114_1134193173486463441_n

Harimau Selatan membawa pulang tiga mata berharga menerusi dua gol Forestieri. Facebook/ JDT

Perlawanan itu menyaksikan kemenangan berpihak kepada JDT dengan hasil jaringan 2-1 dan keputusan ini mengekalkan Harimau Selatan di takhta Liga Super dengan mengumpul 26 mata manakala Sabah kekal di tangga kedua liga dengan mengumpul 22 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sabah FC, JDT, Penyokong, José Embaló