SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara perlu kekal berdisiplin serta dan bersemangat sekiranya mahu melakar kejayaan pada aksi final Kejuaraan AFF B-19 2022 berdepan Laos di di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Indonesia pada Jumaat.
Menurut pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Mohd Waras kedua-dua elemen berkenaan dilihat penting bagi memastikan skuad Harimau Muda itu dapat mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi 2018 lalu.
“Saya cuma mempersiapkan (pasukan) dan bagi saya Laos ada kekuatan tersendiri... namun kita tetap bersedia untuk berdepan mereka.
“Kita juga akan melakukan analisis segala kesilapan yang kita lakukan dan seterusnya melakukan persiapan bagi berdepan Laos nanti,” katanya sejurus tamat aksi separuh akhir pada Rabu.
Pada aksi separuh akhir itu, skuad B-19 negara menewaskan pasukan pilihan, Vietnam 3-0 menerusi jaringan Adam Farhan Faizal pada minit ke-26, Haiqal Haqeemi Hairi (minit-70) dan pemain Haykal Danish Haizon (minit-87).
Untuk rekod, skuad B-19 negara tewas 0-1 kepada Laos pada aksi Kumpulan B, 11 Julai lalu.
Mengulas kemenangan 3-0 ke atas Vietnam, Hassan Sazali berkata, ia berkenaan terhasil daripada semangat serta disiplin yang dipamerkan pemain dalam usaha mengaplikasikan corak taktikal pasukan.
Malah katanya, kesemua pemain juga telah menonton video bagi menganalisis kesilapan-kesilapan yang dilakukan sebelum ini termasuk melihat kekuatan Vietnam.
“Pertamanya, syukur Alhamdulillah dan tahniah kepada barisan pemain, kejurulatihan dan pengurusan pasukan yang selama ini bekerjasama bagi menghasilkan kejayaan ini.
“Sebenarnya saya tak tahu nak cakap apa, tetapi saya gembira dengan taktikal yang saya sampaikan telah berjaya diaplikasikan oleh pemain pada aksi separuh akhir itu di mana kita bermain dengan agak defensive tetapi dalam masa sama kita juga akan melakukan serangan balas,” katanya.
Sementara itu Hassan Sazali tidak mengulas lanjut apabila ditanya mengenai reaksinya terhadap sokongan yang diberikan oleh penyokong Indonesia kepada skuad B-19 negara di media-media sosial.
Bagaimanapun Hassan Sazali tetap menyifatkan skuad kendaliannya itu beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan hingga berjaya menghasilkan kemenangan.
“Bagi saya, semua pasukan inginkan kemenangan termasuk Malaysia, bila dah layak ke semi final ni, ia satu 'stage' yang 'crucial'.
“Namun dengan semangat daripada pemain, mereka buktikan bahawa mereka juga pemain-pemain yang berkualiti.
“Secara keseluruhannya, mereka telah bermain dengan bagus terutamanya dengan disiplin tinggi di sepanjang 90 minit dan dengan disiplin itulah yang berjaya menghasilkan tiga gol untuk menjamin kemenangan,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram