Tinggalkan Harimau Muda, Maloney ucap terima kasih kepada FAM


  • Podium
  • Rabu, 13 Jul 2022

Prestasi Maloney selaku pengendali Harimau Muda disifatkan agak teruk oleh peminat bola sepak tempatan. — Facebook/FAM

KEGAGALAN dalam saingan Sukan SEA Vietnam dan Kejuaraan AFC B-23 di Uzbekistan tempoh hari menyaksikan Brad Maloney terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Perkembangan terkini mengenai masa depan pengendali dari Australia itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan yang mengatakan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk berpisah.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pada Rabu melepaskan ketua jurulatih B-23 kebangsaan, Brad Maloney secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

“Ia dicapai selepas Maloney, 50, hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya.

"Mesyuarat itu bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu," kata kenyataan tersebut.

Maloney merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014 yang mana ia banyak membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihan.

Beliau bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan.

“Selamat maju jaya kepada Maloney dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini. Jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang. Terima kasih,” kata kenyataan itu lagi.

Skuad B-23 negara menamatkan saingan Sukan SEA 2021 di Hanoi tempoh hari di kedudukan keempat selepas tewas di tangan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Manakala tidak sampai sebulan kemudian, anak buah Maloney gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam kempen Kejuaraan AFC B-23 selepas tunduk kepada Korea Selatan, Thailand dan Vietnam untuk menduduki tempat terakhir kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram