SELEPAS tampil kurang menyakinkan ketika membawa skuad kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23), nasib pengendalinya, Brad Maloney kini menjadi tanda tanya buat kalangan pemerhati bola sepak tempatan, lapor media tempatan.
Rata-rata penyokong kini tidak lagi begitu berharap mengenai masa depan Maloney bersama skuad muda negara apabila aksi yang ditampilkan di pentas antarabangsa boleh disifatkan agak teruk.
Sebelum itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada menyatakan mereka meminta laporan khas daripada Maloney sebelum apa-apa keputusan dibuat.
Terbaharu, FAM memberi perkhabaran mengenai status Maloney hanya akan diketahui sebaik sahaja selesai Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang bakal berlangsung pada 21 Julai ini dan bukannya pada Rabu.
Penyokong kini tidak lagi begitu berharap mengenai masa depan Maloney bersama skuad muda negara. — Facebook FAM
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, mesyuarat pada Rabu ini hanya bertujuan untuk mendengar dan menilai prestasi pasukan kendalian Maloney sebelum itu dalam kejohanan disertai.
Menurut beliau, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell akan membentangkan serta memberi cadangan mengenai penambahbaikan skuad muda kebangsaan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama ahli teknikal yang lain dalam mesyuarat tersebut.
“Kita hanya bawa laporan-laporan teknikal dan terpulang kepada jawatankuasa untuk menilai laporan itu dan mereka akan buat keputusan.
“Tapi apa-apa keputusan hanya akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Eksekutif pada 21 Julai. Selalunya selepas Jawatankuasa Eksekutif bermesyuarat, kita akan ada sidang media dan masa itu mungkin ada keputusan yang sudah diputuskan,” katanya menurut laporan media tempatan.
Untuk rekod, skuad B-23 kebangsaan dilihat gagal menyinari dalam tiga kejohanan disertai sebelum itu dan nasib Maloney dilihat agak negatif untuk terus berkhidmat bersama pasukan ini ekoran kegagalan menghasilkan sebarang keputusan agak positif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram