Jika FAM pecat Maloney, ini 3 jurulatih mampu pulihkan prestasi Harimau Muda


  • Podium
  • Selasa, 12 Jul 2022

Skuad Harimau Muda gagal mengutip sebarang mata di pentas Piala Asia B-23 apabila tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan. — Facebook/FAM

PRESTASI skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan agak merisaukan apabila skuad kendalian Brad Maloney itu gagal mempamerkan sebarang aksi positif di peringkat antarabangsa mahupun Asean pada tahun ini.

Pada kejohanan bola sepak lelaki Sukan SEA Vietnam 2021, skuad muda negara gagal melangkah ke pentas akhir apabila terkandas di peringkat separuh akhir sebaik tewas kepada pasukan tuan rumah, Vietnam dengan jaringan 0-1.

Manakala di tempat penentuan pingat gangsa, Harimau Muda sekali lagi tewas kepada seteru utama, Indonesia melalui sepakan penalti dengan hasil jaringan 4-3 mengatasi Malaysia dan gagal membawa sebarang pingat.

Dalam kejohanan Piala Asia 2022 B-23 pula, skuad Harimau Muda gagal mengutip sebarang mata apabila tewas ketiga-tiga perlawanan kepada pasukan Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

Rata-rata penyokong kini tidak lagi begitu berharap mengenai masa depan Maloney bersama skuad muda negara apabila aksi yang ditampilkan di pentas antarabangsa boleh disifatkan agak teruk.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang bakal berlangsung pada Khamis (21 Julai) untuk menentukan masa depan nasib ketua jurulatih kelahiran Australia itu.

Jika FAM memutuskan untuk menghentikan khidmat Maloney, ini 3 calon yang sesuai untuk mengemudi skuad Harimau Muda:

Kim Hak BUm

Hak-bum pernah membawa pasukan Olimpik Korea Selatan mara sehingga ke pusingan suku akhir temasya tersebut pada edisi 2020 sebelum tewas di tangan Mexico. Agensi

1. Kim Hak-bum

Sebelum lantikan Kim Pan-gon dilakukan, Kim Hak-bum turut dicanang sebagai salah seorang calon pengganti kepada bekas jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Pengalaman Hak-bum mengendalikan pasukan muda Korea Selatan dilihat mampu menjadi antara faktor mengapa dia layak memegang jawatan tersebut.

Pencapaian tertinggi Hak-bum adalah membawa pasukan Olimpik Korea Selatan mara sehingga ke pusingan suku akhir temasya tersebut pada edisi 2020 sebelum tewas di tangan Mexico.

Ini adalah masa yang paling sesuai untuk FAM melantik jurulatih berusia 62 tahun itu kerana dia masih belum terikat dengan mana-mana kelab dan proses melantiknya menjadi ketua jurulatih Harimau Muda yang baharu akan menjadi lebih mudah.

Sekiranya perkara ini terjadi, filosofi bola sepak Korea Selatan akan dapat diserap masuk ke dalam kem negara hasil daripada gabungan kedua-dua jurulatih yang berasal dari negara yang sama.

Kerjasama di antara Pan-gon dan Hak-bum semestinya akan memberi banyak kelebihan dalam memastikan prestasi negara dapat terus dipertingkatkan bermula daripada skuad muda.

E34F98A1-FD35-4197-A87C-3A580350C3F3

Pau Marti bersama Garcia Pimienta berjaya membawa skuad remaja Barcelona itu menjuarai pertandingan UEFA Youth League. Agensi

2. Pau Martí Vicente

Pau Marti Vicente adalah jurulatih yang berasal dari Sepanyol dan mempunyai pengalaman luas di peringkat pembangunan bersama akademi terkenal milik Barcelona FC iaitu La Masia.

Pau Marti juga bukan watak asing bagi Kim Pan-gon kerana kedua-duanya pernah bekerja bersama-sama ketika bersama Persatuan Bola Sepak Hong Kong.

Pembantu jurulatih skuad kebangsaan ini juga pernah mengendalikan skuad B-13 Hong Kong, sebelum diberikan tanggungjawab sebagai pembantu dan penganalisis perlawanan pada November 2012 ketika Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih skuad antarabangsa Hong Kong.

Selain itu juga, dia pernah membimbing skuad Barcelona B-18 bersama Xavi Garcia Pimienta pada 2017-2018, tidak hairanlah Pau Marti adalah pelatih kepada antara bakat-bakat besar Barcelona dan eropah.

Pada musim tersebut Pau Marti bersama Garcia Pimienta berjaya membawa skuad remaja Barcelona itu menjuarai pertandingan UEFA Youth League.

Jika Pau Marti diberikan peranan mengendalikan skuad B-23, ini akan memudahkan lagi proses ‘naik pangkat’ pemain berkemampuan daripada skuad B-23 kepada skuad senior.

Screenshot 2022-07-12 at 16-20-31 Tan Cheng Hoe insists blame for defeat is shared by everyone on his team Goal.com

Cheng Hoe pernah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea 2009, selain menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K Rajagobal. Agensi

3. Tan Cheng Hoe

Selepas hampir tiga bulan berehat daripada kancah bola sepak tempatan, bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersedia membuat kemunculan semula dan ini merupakan peluang terbaik buat FAM kembali melamarnya.

Untuk rekod, Cheng Hoe sudah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM dan sebelum ini bergelar sebagai penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

Selepas perletakan jawatan jurulatih kelahiran Portugal itu, Cheng Hoe dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan sehingga tamat kempen Piala AFF Suzuki 2021.

Antara kejayaan yang diraih pengendali berusia 54 tahun itu adalah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea 2009, selain menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K Rajagobal, serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

Cheng Hoe juga pernah mengambil alih pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika dalam keadaan merudum dan hanya mengambil tempoh yang singkat untuk mengembalikan semula reputasi Gergasi Utara tanah air itu, selain terkenal dengan corak permainan ‘tiki-taka’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram