Polis minta ‘wang keamanan’, aksi PSPS Riau-Kelantan FC dibatalkan sejam sebelum sepak mula


  • Podium
  • Selasa, 12 Jul 2022

Para penyokong sudah membanjiri Stadium Utama Riau sejak pukul 3 petang bagi menonton perlawanan itu. — Agensi

PERKARA mengejutkan buat penyokong dan barisan pemain bola sepak Kelantan FC apabila perlawanan persahabatan menentang skuad PSPS Riau yang dijadualkan berlangsung pada Khamis terpaksa dibatalkan.

Kenyataan dari laman rasmi Kelantan FC menyatakan polis di Pekan Baru, Riau, Indonesia meminta wang sebanyak 40,000,000 rupiah (RM 11,826.75) kira-kira sejam sebelum perlawanan itu bermula.

Difahamkan, duit berkenaan adalah sebagai yuran bagi menjaga keamanan sepanjang perlawanan berlangsung dan pihak polis Pekan Baru mendesak untuk mendapatkan wang itu daripada pasukan PSPS Riau.

Dalam kenyataan berlainan, pihak PSPS Riau menyatakan kekesalan mereka terhadap polis Pekan Baru kerana tidak memberitahu perkara itu lebih awal.

Malah, pasukan itu juga menegaskan sudah mendapatkan surat keamanan lebih awal iaitu pada 8 Julai 2022.

Susulan pengumuman itu, ramai penyokong kecewa kerana terlepas peluang menonton perlawanan berkenaan.

Menurut laporan portal Goriau, kedua-dua pasukan sudah tiba di stadium dan para penyokong juga mulai membanjiri Stadium Utama Riau sejak pukul 3 petang bagi menonton perlawanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram