Medan asah kuku di Riau, TRW mahu fokus cabaran luar jangka


  • Podium
  • Ahad, 10 Jul 2022

Taktikal Kelantan FC akan diuji pada perlawanan persahabatan nanti—Majoriti

KELANTAN FC akan menjadikan perlawanan persahabatan menentang PSPS Riau pada 12 Julai nanti sebagai medan pemanas badan buat barisan pemainnya.

The Red Warriors (TRW) akan mengasah kuku sebelum berentap pada pusingan kedua Liga Perdana menentang pasukan Uitm pada 18 Julai nanti.

Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, perlawanan persahabatan tersebut akan digunakan untuk menguji keberkesanan taktikalnya.

"Saya akan memberi peluang kepada semua pemain. Ini daripada awal saya buat. Pada saya, perlawanan ini bukan sahaja untuk lihat kesebelasan utama sahaja.

"Kita nak lihat juga sekiranya ada yang cedera. Perkara paling penting adalah mereka faham mengenai taktikal yang saya cuba terapkan," katanya.

Tambahnya, pengalaman bermain dengan pasukan luar negara mendedahkan skuad dari Pantai Timur tersebut kepada situasi yang tidak dijangka.

"Kami bermain dalam Liga Perdana. Kami sudah tahu kemampuan pemain-pemain dalam negara.

"Jadi, bermain dengan kelab-kelab luar ini, saya rasa sedikit sebanyak boleh memberi satu kelainan kerana kami tidak mengetahui tentang kekuatan pasukan lawan.

"Jadi itu penting buat saya. Supaya kami akan diberikan pendedahan tentang cabaran di luar jangkaan," katanya dalam sebuah temubual bersama Harimau Malaya di Youtube.

Sebagai rekod, Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau yang lebih mesra disapa Zamsaham melebarkan sayap ke negara jiran apabila beliau menjadi pemilik baharu kelab Indonesia, PSPS Riau.

PSPS atau nama penuhnya Persatuan Sepak Bola Pekanbaru dan Sekitarnya berpangkalan di Pekanbaru, Riau mula ditubuhkan pada 1955.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram