'Itulah ego pemain-pemain sekarang,' tegur 'otai' Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 12 Jul 2022

Pemain muda perlu bersikap profesional di dalam dan luar padang. — Facebook TFC

ARENA sukan tanah air pernah dirahmati dengan bakat-bakat besar seperti penyerang super, Mokhtar Dahari; pasangan pertahanan Asia, Santokh Signh dan Soh Chin Aun serta penjaga gawang yang tangkas, R. Arumugam.

Bagaimanapun, masalah pengurusan dalam liga tempatan, terutamanya insiden rasuah pada tahun 1994 dikatakan menjadi penyumbang kepada kejatuhan kualiti bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, aspek tersebut hanya sebahagian daripada faktor kemerosotan prestasi sukan tempatan yang kini berada di ranking 1ke-47 dunia.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Solehin Kanasian Abdullah, sikap pemain muda tidak bersungguh-sungguh terhadap permainan bola sepak menjadi penyumbang kepada kebantutan prestasi mereka.

"Dunia bola sepak sekarang ini agak berbeza berbanding dahulu. Kini, pemain-pemain muda tidak bersemangat seperti kami dahulu. Selepas sahaja tamat latihan, mereka terus pulang.

"Waktu kami dulu, selepas tamat bermain, kami akan berlatih secara sendiri. Sebab kami geram kalau kami tidak kuasai satu-satu kemahiran yang jurulatih ajar.

"Oleh itu, kalau kita tengok Liga Malaysia sekarang ini, kita rasa macam tengok Piala Presiden sahaja," katanya kepada Majoriti.

Pemain muda perlu cari jalan untuk perbaiki kemahiran dan teknik sendiri.Agensi

Tidak menolak sekiranya imbuhan menjadi target pemain-pemain generasi masa kini, bekas pemain Kedah itu berkongsi pengalamannya sewaktu masih aktif di padang.

"Dulu, masa kami bermain Piala Presiden, kami diberi elaun RM10 sahaja setiap kali latihan dan had kami cuma sampai RM600 sahaja. Kalau prestasi cemerlang, kami boleh dapat RM1,000.

"Mengikut fahaman saya, sekarang gaji pemain Piala Presiden sudah mencecah RM2,500 sehingga RM4,000. Jadi kebanyakan anak muda nak jadi pemain bola sebab gaji lumayan berbanding cintakan bola sepak itu sendiri.

"Sebab itulah, kita dapat melihat ego mereka di atas padang. Kena psiko sikit, dah mula menganjing. Sangat tidak profesional.

"Kena psiko atas padang, terutama dengan penjaga gol semasa sepakan penalti itu biasalah. Dah dapat jaringkan gol itu, dah menang dah. Tapi masih bermentaliti 'kampung'.

"Itulah ego pemain-pemain sekarang. Mereka juga tidak hormat pada bekas-bekas pemain seperti kami. Sikap tu bermasalah" jelasnya.

Sebagai rekod, pemain yang terkenal dengan nama K. Soley pernah mencetus fenomena apabila berjaya membantu Kedah FA memenangi Piala FA Malaysia selepas menewaskan Perlis FA 4–2 menerusi sepakan penalti.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram