Luah rasa kehilangan tidak dapat rai Aidiladha bersama keluarga, Al-Mardi kirim wang ibadah korban ke Jordan


  • Podium
  • Ahad, 10 Jul 2022

Al-Mardi berkongsi gambarnya sewaktu menunaikan haji pada laman Instagram.  — Instagram

TANGGUNGJAWAB bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama keluarganya yang berada di kampung halamannya, Jordan.

Penyerang skuad Sang Kenari itu akui pertama kali menyambut perayaan Aidiladha di Malaysia sememangnya meriah dan seronok tapi tidak dapat dinafikan perasaan rindu kepada keluarganya membuatkan beliau berasa sedih.

"Seronok dapat beraya di Malaysia tapi saya rasa kehilangan pada raya kali ini kerana tiada ahli keluarga di sisi.

"Selalunya setiap kali perayaan Aidiladha, saya akan menunaikan solat sunat dan melaksanakan ibadah korban bersama keluarga. Saya juga akan singgah ke rumah ibu bapa untuk menyambut perayaan ini bersama mereka," kata pemain berusia 28 tahun itu kepada Majoriti.

Pengalaman tidak berada di samping keluarga ketika Aidiladha merupakan sesuatu yang baru buat Al-Mardi tetapi pemain kebangsaan Jordan itu menyedari keutamaan serta tanggungjawab yang dipikul untuk skuad Hijau Kuning.

Melihat pada laman Insta Story beliau, Al-Mardi sedang bercuti di Langkawi bersama pemain Selangor, Yazan Al-Arab yang juga rakan senegaranya.

Bercerita mengenai ibadah korban, Al-Mardi pada awalnya ingin melaksanakan ibadah sunat muakad itu di Malaysia namun beliau terpaksa membatalkan niatnya selepas mendapat nasihat daripada agamawan di Jordan.

"Beliau memang nak buat ibadah korban di Malaysia tapi tidak jadi selepas Al-Mardi mendapat nasihat dari agamawan di Jordan.

"Kata agamawan disana adalah lebih afdal melakukan ibadah korban di negara sendiri kerana ahli keluarga dapat makan daging korban berkenaan. Jadi beliau mengambil keputusan untuk mengirim duit sahaja bagi menunaikan ibadah itu," kongsi pengurus pasukan Sang Kenari, Shahrul.

mardi

Al-Mardi sertai KDA FC pada jendela perpindahan kedua musim ini. — Facebook KDA FC

Bercerita lanjut mengenai Al-Mardi, pengurus KDA FC berkenaan juga mendedahkan, pemain itu adalah atlet yang menjalani kehidupan diet sihat yang mana beliau hanya makan makanan yang dipanggang sahaja.

Meskipun baru menyertai KDA FC pada jendela perpindahan musim kedua, Al-Mardi menjadi kegemaran penyokong Sang Kenari terutama selepas aksi cemerlangnya pada kempen Piala AFC baru-baru ini.

Menjaringkan hatrik ketika menewaskan Visakha FC dalam saingan Piala AFC di Bali Al-Mardi sering menjadi harapan penyokong dalam menewaskan pasukan bagi setiap perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram