CEO Selangor 'membisu', Feichtenbeiner kekal sampai hujung musim?


  • Podium
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Pengurusan Selangor FC dilaporkan masih mempercayai kredibiliti Feichtenbeiner (kiri) selaku jurulatih. — Agensi

JODOH jurulatih pasukan Selangor, Michael Feichtenbeiner bersama pasukan The Red Giants itu nampaknya masih lagi kuat apabila dikhabarkan bahawa khidmatnya akan dikekalkan sehingga penghujung musim ini.

Dalam status yang dimuat naik seorang pemerhati sukan, Ismael Wong, khidmat Feichtenbeiner masih lagi ditagih pihak pengurusan Selangor FC yang percaya pada sentuhannya selaku jurulatih.

Biarpun dikatakan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin di dalam pengurusan Selangor, namun mereka bersepakat untuk terus memberi peluang kepada jurulatih Jerman tersebut.

Ismael mendakwa, kekalahan 0-2 Selangor di tangan Melaka United FC baru-baru ini hanyalah perkara kecil sekiranya dibandingkan dengan persembahan memuaskan skuad Merah Kuning apabila berjaya mengikat Sabah FC 1-1 pada 28 Jun yang lalu.

"Keputusan pusingan ketiga Piala FA (berdepan KL City pada Jumaat) tidak akan menjejaskan posisi Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih. Meskipun terdapat pelbagai pendapat, namun mereka telah sebulat suara untuk terus percaya pada sentuhan ajaib Feichtenbeiner.

"Mereka berpendapat tindakan memecat Feichtenbeiner adalah tidak munasabah," katanya dalam satu ciapan di laman Twitter.

Tangkap layar ciapan Ismael Wong yang mendakwa memiliki sumber dalaman. — Twitter

Dalam pada itu, Ismael yang mendakwa mendapat maklumat tersebut dari sumber dalaman turut menjelaskan bahawa pihak pengurusan tidak mahu usaha projek DNA Jerman menjadi sia-sia dengan begitu sahaja.

"Kelab tidak mahu bermula semula dari bawah. Lebih-lebih lagi selepas banyak pelaburan telah didekasikan pada pasukan dalam dua musim lalu.

"Bagaimanapun, kelab juga telah berhubung dengan beberapa calon jurulatih baharu sementara Feichtenbeiner masih ada tiga lagi perlawanan untuk mengubah nasibnya," dakwanya lagi.

Sementara itu, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Johan Kamal Hamidon berhubung masa depan Feichtenbeiner setakat ini.

Usaha Majoriti mendapatkan respons beliau juga gagal apabila Johan tidak menjawab panggilan telefon sementara WhatsApp juga tidak dibalas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram