SELEPAS kontroversi penghijrahan bekas pemain Kuala Lumpur City FC, Daniel Ting ke Johor Darul Takzim (JDT), skuad Harimau Selatan sekali lagi menjadi bahan bualan bukan saja dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, malah netizen Indonesia susulan pengumuman pemain warisan Sepanyol-Indonesia, Jordi Amat bakal sertai pasukan gergasi itu selepas ini.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam satu sesi khas bersama peminat setia skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.
Tunku Ismail (dua, kiri) dalam pertemuan bersama penyokong JDT pada Isnin. — Facebook JDT
Pengumuman tersebut jelas mengecewakan penyokong negara jiran kerana rata-rata rakyat Indonesia lebih gemar melihat pemain berusia 30 tahun itu kekal bermain di liga kompetitif seperti Liga di Eropah.
Kerana terlalu marah, warganet Indonesia merusuh laman Instagram Jordi dan tidak putus-putus memberi komen berbaur kecaman selain menggunakan tanda pagar #amatkecewa pada setiap ayat.
Malah, ada juga yang mendesak agar Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menarik balik proses proses dokumentasi pasport Indonesianya.
“Asia okey, tapi jangan bermain di Liga Asia Tenggara,” kata xivfrost.
“Jangan main di JDT, Liga Indonesia lagi bagus daripada Liga Malaysia. Cubalah bermain di Liga Jepun atau liga Asia Tenggara lain,” kata nblmln21.
Namun, bagi penyokong skuad Harimau Selatan, warga Indonesia sepatutnya bersyukur Jordi Amat memilih JDT untuk mengembangkan kerjayanya.
“Liga kita dah dapat slot Liga Juara-Juara Asia (ACL), secara automatik okey. Taraf rendah bahagian mana? Kalau dia ke liga-liga yang tidak dapat slot automatik ke ACL, memang jadi taraf rendahlah. Liga Malaysia dah banyak berubah sejak empat lima tahun ini. Mungkin kalau bukan sebab pandemik, Liga M dah dikenali ramai,” tegas Mukh Rizz.
Tunku Ismail menyifatkan Jordi Amat merupakan aset terbesar buat Indonesia dan pemain yang berkualiti untuk kelab JDT. — Agensi
Pendapat itu turut dipersetujui oleh sesetengah penyokong bola sepak Indonesia yang mana mereka berasa penyertaan Jordi Amat bersama JDT adalah perkara baik.
Mereka juga tidak menafikan pasukan JDT mempunyai pelbagai fasiliti berkelas dunia dan Jordi Amat akan berpeluang untuk beraksi di ACL bersama kelab ternama Asia lain.
Jordi Amat sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk beraksi di dalam kancah bola sepak Asia selepas merasai pengalaman hampir 12 tahun di Eropah.
Pemain pertahanan tengah itu pernah beraksi bersama Swansea City selain aktif beraksi bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Rayo Vallecano dan Espanyol.
Selain Jordi Amat, TMJ turut mendedahkan bahawa tonggak Harimau Malaya, Dion Cools bakal jadi pemain skuad Harimau Selatan namun akan menunggu kontrak pemain tersebut tamat di FC Midtjylland. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram